- Wartawan Nabalu News
PKPD DI TIGA LOKALITI DI KALABAKAN, SANDAKAN DAN BEAUFORT MULAI 26 JUN HINGGA 9 JULAI
24 Jun 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Kuala Merotai Kalabakan, Flat Indah Jaya Sandakan dan Kampung Tahak Membakut Beaufort bermula 26 Jun hingga 9 Julai ini.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, pelaksanaan PKPD ini untuk memastikan penduduk yang berisiko dijangkiti Covid-19 kekal berada dalam kawasan.
“Sehingga kini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melakukan 26 ujian saringan di Kampung Kuala Merotai, Kalabakan.
“Daripada jumlah itu 13 disahkan positif Covid-19 dengan kadar positiviti 50 peratus.
“KKM juga mendapati kes telah meningkat dalam tempoh singkat dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti tersebut,” katanya dalam kenyataan akhbar, di sini, hari ini.
Masidi berkata, bagi Kampung Tahak Membakut Beaufort pula, sehingga kini, sebanyak 11 kes positif Covid-19 telah direkodkan hasil daripada 98 ujian saringan dengan kadar positiviti 11.22 peratus.
“KKM mendapati kes telah meningkat dalam tempoh singkat dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti tersebut,” katanya.
Manakala bagi Flat Indah Jaya Sandakan, KKM telah melakukan 252 ujian saringan dan 11 daripadanya disahkan positif Covid-19.
Katanya, KKM juga mendapati kes telah menular dan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti tersebut.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan Negeri bersetuju melaksanakan PKPD di Flat Indah Jaya, Sandakan berkuat kuasa 26 Jun sehingga 09 Julai selaras dengan keputusan Kerajaan Persekutuan.
“Pelaksanaan PKPD bertujuan untuk memastikan penduduk yang berisiko dijangkiti Covid-19 kekal berada dalam kawasan,” katanya.
Comments