PKPD KAMPUNG LINGKUDAU, KENINGAU DITAMATKAN ESOK (28 MAC)
27 Mac 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Kampung Lingkudau Keningau ditamatkan esok (28 Mac) seperti yang dijadualkan sebelum ini.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, sehingga kini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan 1,396 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 91 kes positif COVID-19 telah direkodkan.
“KKM mengesahkan baki kes positif di lokaliti ini menunjukkan trend penurunan, kluster adalah terkawal serta kes terakhir yang dilaporkan ialah pada 23 Mac 2021.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan Negeri turut bersetuju menamatkan PKPD di Kampung Lingkudau, Keningau pada 28 Mac 2021 seperti yang dijadualkan, selaras dengan keputusan Kerajaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini, hari ini.
Masidi berkata, kerajaan sebelum ini telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Lingkudau, Keningau yang dijadualkan tamat pada esok (28 Mac).
Comments