PKPD KG. MOOK KINARUT DAN KG. BARU DUROK KENINGAU, MULAI 29 MEI HINGGA 11 JUN

27 Mei 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Kampung Baru Durok Keningau dan kampung Mook Kinarut Papar akan berkuatkuasa mulai 29 Mei hingga 11 Jun ini. Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, pelaksanaan PKPD itu untuk menyekat pergerakan penduduk serta mengekang penularan wabak Covid-19 ke luar kawasan. “Sehingga kini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan 158 ujian saringan dan sebanyak 28 kes positif direkodkan dengan kadar positiviti ialah 17.72 peratus di lokaliti tersebut. “KKM mendapati berlaku peningkatan kes amat ketara dalam masa yang singkat dengan kadar kebolehjangkitan adalah tinggi. “Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan Negeri bersetuju melaksanakan PKPD di Kampung Baru Durok, Keningau berkuat kuasa 29 Mei sehingga 11 Jun 2021 selaras dengan keputusan Kerajaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan akhbar, di sini, hari ini. Masidi berkata, bagi Kg. Mook Kinarut pula, sehingga kini, sebanyak sembilan kes positif Covid-19 telah direkodkan hasil daripada 35 ujian saringan dilakukan oleh KKM dengan kadar positiviti ialah 25.7 peratus. “Pada masa sama, telah berlaku penularan kes di semua lokaliti dengan kadar kebolehjangkitan adalah tinggi. “Pelaksanaan PKPD untuk menyekat pergerakan dan jangkitan Covid-19 dari kawasan berisiko keluar dari lokaliti tersebut,” katanya.
Comentarios