top of page

PKPD: POLIS LAHAD DATU PERKETAT KAWALAN DI DUA KAMPUNG

nabalunews


3 DIS 2020


LAHAD DATU: Polis memperketatkan kawalan di Kampung Desa Bajau serta Kampung Dasar Baru di sini, bagi mengelak cubaan penduduk melarikan diri berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak semalam.


Ketua Polis Daerah Lahad Datu ACP Rohan Shah Ahmad berkata rondaan dan kawalan diatur di kawasan itu yang turut dibantu Team Cantas daripada Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu.


"Team Cantas ini akan bertindak menahan dan menangkap serta mengambil tindakan lain terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang termasuk di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988," katanya ketika dihubungi.


Kampung Desa Bajau dan Kampung Dasar Baru merupakan perkampungan atas air yang berjiran.


Rohan Shah juga berkata pihaknya telah mengenal pasti semua 'laluan tikus' di kedua-dua kampung itu yang kini dihalang dengan kawat berduri oleh Angkatan Tentera Malaysia.


Selain itu, empat pos kawalan turut dibuka, membolehkan petugas kesihatan menjalankan ujian saringan ke atas penduduk kampung berkenaan.


Sebelum ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan PKPD di dua kampung berkenaan hingga 15 Dis ini, membabitkan 914 rumah dengan 4,934 penduduk. – Bernama


Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page