top of page

PM ajak pembangkang sertai MPN dan Jawatankuasa Khas Covid

Writer's picture: Marryan RazanMarryan Razan

Datuk Sri Ismail Sabri

22 Ogos 2021

Oleh Marryan Razan


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Sri Ismail Sabri menawarkan ruang kepada kepimpinan pembangkang untuk menganggotai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19.


Beliau berkata, Kebawah Duli Tuanku dalam perjumpaan bersama ketua-ketua parti baru-baru ini telah bertitah kepada semua agar melupakan segala perbezaan demi mencapai kesejahteraan dan kebajikan rakyat.


“Kesemua pihak sepatutnya sedia bekerja dalam satu pasukan demi mengharmonikan semula suasana. Dalam erti kata lain, kita perlu mendakap erat prinsip kebersamaan.


“Saya faham, kemelut politik yang melanda negara menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat. Oleh itu, kestabilan politik perlu segera dicapai menerusi kebersamaan. Ini termasuklah mewujudkan kerjasama rentas parti,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam perutusan khas sebagai Perdana Menteri hari ini.


Ismail Sabri berkata, beliau juga akan menyediakan pasukan pentadbiran yang akan berkhidmat membantu negara agar segera keluar daripada kemelut kesihatan dan ekonomi.


“Saya berikrar menghasilkan yang terbaik demi membuktikan kepercayaan rakyat kepada pasukan saya tidak dipersiakan.


“Hasrat ini hanya berupaya dicapai melalui kerjasama daripada seluruh pentadbiran yang didukung oleh penjawat awam selaku tulang belakang pentadbiran negara.


“Marilah kita bersama-sama sebagai Keluarga Malaysia mengembalikan kesejahteraan dan keselesaan hidup yang pernah dikecapi suatu ketika dulu.,” katanya.


Menyorot kembali tempoh sepenggal selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14, dengan hanya berbaki 21 bulan sebelum PRU-15, beliau berkata, negara telah melalui dua peralihan kerajaan dan dua Perdana Menteri.


“Sebenarnya, peralihan tersebut dalam tempoh sepenggal adalah landskap politik yang merugikan rakyat dan negara.


“Marilah kita bergerak ke hadapan. Kita leraikan segala perebutan kuasa politik. Kita bersama-sama berjuang sebagai sebuah keluarga besar yang merangkumi penjawat awam, pekerja swasta dan yang bekerja sendiri dalam memperbaik, merawat dan memulihkan semula tanah air ini,” katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page