PM akan umum projek bina rumah mampu milik terbesar babitkan kos RM13 bilion - Nga Kor Ming
27 November 2024
KOTA BAHRU: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengumumkan projek pembinaan rumah mampu milik terbesar membabitkan kos RM13 bilion.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming berkata, pengumuman itu akan dibuat bulan depan.
"Sekiranya semua berjalan lancar, Perdana Menteri akan mengumumkan projek pembinaan rumah mampu milik paling besar membabitkan kos pelaburan RM13 bilion.
"Ini satu jumlah yang besar dan menunjukkan komitmen Kerajaan Perpaduan dalam usaha memastikan semua rakyat mampu miliki rumah.
"Sudah tentu penjawat awam juga tidak akan ketinggalan dan mereka juga akan diberikan ruang serta peluang bagi yang memerlukan.
"Perincian projek kita tunggu pengumuman Perdana Menteri," katanya pada sidang media selepas melawat Projek Menaiktaraf Pasar Siti Khadijah di sini, hari ini, lapor Harian Metro.
Semalam, media melaporkan, sejumlah 688,663 daripada 1.3 juta penjawat awam yang masih berkhidmat belum memiliki rumah dengan majoritinya dalam kalangan kumpulan pelaksana.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek ketika menjawab bagi pihak Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) dilaporkan berkata, daripada jumlah penjawat awam yang belum memiliki rumah, 431,277 membabitkan kumpulan pelaksana.
Comments