PM Anwar Ajak Semua Rakyat Malaysia Meraikan Deepavali Dengan Meriah

30 Oktober 2024
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengajak seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama untuk bersama-sama meraikan perayaan Deepavali dengan penuh kemeriahan dan kegembiraan.
Beliau bagi pihak kerajaan dan seluruh rakyat, turut menyampaikan ucapan Selamat Menyambut Deepavali kepada semua penganut agama Hindu, dengan harapan perayaan ini membawa sinar kebahagiaan dan kesejahteraan kepada setiap insan yang merayakannya.
"Hari ini menandakan, dari sudut sejarahnya dan pengajaran ialah kemenangan dari kezaliman dan kegelapan kepada cahaya kebenaran dan keadilan.
"Mudah-mudahan kita sambut dengan meriah dalam kalangan rakyat Malaysia dari pelbagai kaum dan agama, sama-sama sambut kemeriahan dan kegembiraan. Terima kasih, nandri," katanya dalam video pendek sempena sambutan Deepavali.
Deepavali yang juga dikenali sebagai festival cahaya disambut esok.
Sementara itu, dalam hantaran di Facebook, Perdana Menteri berkata Deepavali disambut dengan penuh kegembiraan dan semangat sebagai 'pesta cahaya,' yang melambangkan kemenangan cahaya ke atas kegelapan, kebaikan mengatasi keburukan, serta kekuatan ilmu mengalahkan kejahilan dan keangkuhan.
“Kita sebagai masyarakat yang kaya dengan budaya mesti menghidupkan sikap hormat dan persefahaman antara masyarakat.
“Gunakan kesempatan ini untuk menyemarak perpaduan antara kaum dan mencari titik temu, selain meningkatkan ihsan kepada yang hidup melarat dan dalam kesusahan,” katanya.
Beliau juga berharap agar perayaan Deepavali ini dapat diraikan dengan semangat kebangkitan pemikiran yang segar dan murni, demi mengangkat darjat harakat rakyat keseluruhannya.
Comments