PM Anwar bertemu wira negara Olimpik dan Paralimpik Paris 2024
22 Oktober 2024
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memberi penghormatan kepada tujuh atlet negara yang mengharumkan nama Malaysia di Sukan Olimpik dan Paralimpik Paris 2024.
Beliau bertemu dengan mereka di Parlimen, dan menzahirkan rasa bangga atas pencapaian luar biasa mereka dalam temasya sukan dunia itu.
Menerusi perkongsian di Facebook, Anwar menyatakan kunjungan hormat tersebut melibatkan Lee Zi Jia, Aaron Chia, Soh Wooi Yik, Cheah Liek Hou, Bonnie Bunyau Gustin, Muhammad Ziyad Zolkefli, dan Eddy Bernard, kesemuanya pemenang pingat di Paris.
"Saya berbangga dengan pencapaian hebat ini dan terkesan mendengar pengalaman mereka yang bermula di bangku sekolah dan gigih berusaha memecahkan tembok-tembok halangan untuk bergelar atlet bertaraf dunia serta menyatukan rakyat Malaysia dengan kejayaan kalian," katanya.
Anwar turut menyanjung tinggi pengorbanan Soh Wooi Yik, yang tetap bertahan dalam perlawanan walaupun menahan sakit akibat jari kaki yang retak dan membengkak selama 74 minit dalam penentuan pingat gangsa.
"Terima kasih atas kekentalan jiwa dan pengorbanan ini demi memastikan bendera Malaysia berkibar di Paris," tambahnya.
Beliau turut menegaskan komitmen kerajaan untuk memperkukuhkan pembangunan sukan negara, menerusi peruntukan lebih RM230 juta dalam Belanjawan 2025.
"Peruntukan ini untuk program podium, latihan atlet, Road to Gold, persiapan sukan para dunia termasuk Deaflympic Tokyo 2025, serta penyelenggaraan kemudahan belia dan sukan di seluruh negara," jelas Anwar.
Comentários