- Wartawan Nabalu News
PM Anwar desak hentikan serangan di Gaza

24 Oktober 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KAHERAH: Semua pihak termasuk kuasa-kuasa besar perlu mengambil tindakan segera untuk menghentikan serangan di Gaza yang menyebabkan kematian dan kecederaan di kalangan rakyat Palestin yang tidak berdosa, kata Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata pembunuhan kanak-kanak, wanita dan rakyat Palestin di Gaza adalah satu kezaliman yang tidak boleh diterima.
"Malaysia bukanlah negara besar, bukan negara Arab, bukan negara Teluk yang berjiran dengan Palestin. Tetapi kita bertanggungjawab menyuarakan hati nurani umat dan rakyat Palestin," katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Ramah Mesra dengan diaspora dan pelajar Malaysia di Mesir.
Majlis yang disertai kira-kira 1,200 rakyat Malaysia itu antaranya turut dihadiri Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Khairul Firdaus Akbar Khan, Duta Besar Malaysia ke Mesir Zamani Ismail dan pegawai-pegawai kedutaan Malaysia di Kaherah.
Menurut Anwar beliau juga kecewa kerana negara-negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan Eropah seolah-olah 'tidak mempunyai masa' untuk menghentikan kezaliman, penindasan dan pembunuhan terhadap rakyat Palestin di Gaza selain bersikap dingin terhadap usaha penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Dalam perkembangan lain, Anwar berkata beliau memberi kebebasan sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam menjalankan tanggungjawabnya membanteras gejala rasuah di negara ini.
Ketika menjawab pertanyaan diaspora pada majlis ramah mesra itu, Anwar berkata beliau yakin gejala rasuah di negara ini boleh diatasi dengan sokongan semua pihak termasuk pemimpin tertinggi negara tidak terkecuali Perdana Menteri, perlu mengelak menggunakan kedudukan untuk mengumpul kekayaan.