top of page
  • Wartawan Nabalu News

PM Anwar gesa semua pihak bekerjasama jayakan reformasi, ekonomi


20 Jun 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru semua pihak untuk bekerjasama sebagai satu pasukan bagi mempercepatkan pelaksanaan reformasi dan inisiatif ekonomi yang dirancang dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).


Beliau berkata RMK-12 perlu menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam menyelesaikan masalah rakyat yang terjejas akibat perubahan dan cabaran sosioekonomi semasa.


"Input-input daripada semua kementerian akan diambil kira dalam penyediaan RMK-12 ini. Sehubungan itu, semua kementerian perlu lebih serius serta bertindak dengan lebih proaktif, agresif dan berani bagi menyelesaikan isu-isu pelaksanaan dasar, terutamanya berkaitan rakyat mengikut lunas perundangan sedia ada," katanya dalam satu catatan di Facebook.


Anwar berkata beliau telah mengadakan mesyuarat khas bersama Ahli Jemaah Menteri dan Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian mengenai Kajian Separuh Penggal RMK-12 di Putrajaya hari ini.


Beliau berkata mesyuarat itu bertujuan untuk membincangkan hala tuju baharu (2023-2025) yang perlu dibentangkan dalam RMK-12 bagi memastikan ekonomi negara kekal kukuh dan berada di landasan yang tepat ke arah mencapai agenda Malaysia MADANI.


"RMK-12 merupakan dokumen dasar yang signifikan dalam menentukan hala tuju pembangunan sosioekonomi negara yang seimbang dari segi pemikiran, kerohanian dan kebendaan berteraskan nilai-nilai murni," katanya.




留言


bottom of page