top of page
nabalunews

PM Anwar Saran Pakistan Manfaatkan Malaysia Sebagai Pintu Gerbang ASEAN

6 Oktober 2024


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengetengahkan peranan strategik Malaysia sebagai pintu gerbang untuk Pakistan mendapat akses terhadap peluang ekonomi rantau ASEAN yang semakin berkembang.


Ketika berkongsi kelebihan Malaysia dalam wawancara dengan stesen Pakistan Television (PTV) pada Jumaat, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata ASEAN merupakan antara subwilayah paling aman dan mempunyai ekonomi dinamik dengan kalangan negara anggotanya menikmati pertumbuhan yang pesat.


Beliau berkata sebagai blok serantau, ASEAN kekal sebagai sebuah kumpulan perdagangan yang kekal berkecuali dan pada masa sama aktif melakukan penglibatan dengan negara-negara Timur dan Barat, lapor Bernama.


Malaysia juga giat melaksanakan usaha berterusan untuk memperkukuh hubungan ekonomi dengan pelbagai negara, termasuk Australia, India, Bangladesh dan kini Pakistan.


Perkongsian Perdana Menteri itu jelas memaparkan komitmen Malaysia untuk memupuk hubungan kerjasama ekonomi lebih kukuh di dalam dan melangkaui rantau ASEAN, sekali gus menjadikan Kuala Lumpur sebagai penghubung penting bagi perdagangan global.


“Sehubungan itu, kita akan membuka laluan, malah saya telah memberi jaminan kepada Perdana Menteri Shehbaz Shariff bahawa ia (Malaysia) adalah terbuka.


“Bukan itu sahaja, anda boleh memanfaatkan Malaysia sebagai hab ke rantau ini," kata Anwar, yang baru menamatkan lawatan selama tiga hari ke Pakistan bermula 2 Oktober lalu.


Menyentuh hubungan dua hala Malaysia-Pakistan, Perdana Menteri berkata terdapat potensi besar yang boleh dimanfaatkan oleh kedua-dua negara.


“Ada banyak bidang (yang boleh diterokai oleh kedua-dua negara) seperti tenaga baharu dari Pakistan dan Malaysia pula kini menjadi hab industri semikonduktor. Pelaburan besar juga telah masuk dan kita boleh berkongsi (pengalaman) dalam bidang ini dan melonjakkan ekonomi kedua-dua negara," kata beliau.


Anwar juga berkongsi aspek kestabilan politik semasa Malaysia serta kejelasan dasar kerajaan yang menjadi antara faktor penarik pelaburan asing ke negara ini.


Dalam kalangan negara-negara Asia Selatan, Pakistan merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia, destinasi eksport utama serta sumber import kedua terbesar pada 2023.


Bagi tempoh Januari hingga Ogos 2024, jumlah perdagangan antara Malaysia dan Pakistan meningkat sebanyak 54.8 peratus kepada RM5.68 bilion (US$1.21 bilion).


Dalam pada itu, dari segi pelaburan, sebanyak 27 projek perkilangan dengan pembabitan syarikat Pakistan bernilai RM304.14 juta (US$81.89 juta) juga telah dilaksanakan bagi mewujudkan sebanyak 1,382 peluang pekerjaan dalam industri seperti kertas, percetakan dan penerbitan, pemprosesan makanan, tekstil dan bahan serta produk kimia.

Comentários


bottom of page