top of page
  • Wartawan Nabalu News

PM Anwar: Subsidi hanya dikurangkan untuk golongan maha kaya


6 Jun 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan bahawa kerajaan telah mengurangkan pemberian subsidi kepada semua lapisan masyarakat.


Beliau menjelaskan bahawa pengurangan itu hanya melibatkan subsidi elektrik dan haji untuk golongan berpendapatan tinggi (T20).


Anwar berkata, langkah itu diambil untuk mengurangkan bebanan rakyat dalam golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40), yang masih menikmati subsidi tersebut. Beliau juga menegur pemimpin pembangkang yang cuba mempolitikkan isu ini.


"Kita kurangkan (subsidi elektrik dan haji) bagi golongan kaya, bukan untuk rakyat tetapi hanya bagi golongan maha kaya. (Pemberian subsidi) tidak dikurangkan bagi majoriti rakyat dan 90 peratus tidak terkesan. Malah, kadar elektrik bagi industri sederhana kecil (IKS) dan makanan tidak dinaikkan.


“Kenapa nak politikkan isu ini? Kita nak jadi jaguh siapa? Nak kurangkan subsidi untuk orang kaya pun tak boleh? Nak ambil RM50-RM60 juta dari Tan Sri Syed Mokhtar pun tak boleh? Ini apa punya dasar sebegini?


“Saya terpaksa ambil dari orang kaya supaya tidak bebankan orang miskin," katanya ketika sesi Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.


Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Radzi Jidin mengenai pendekatan pengurangan pemberian subsidi yang membebankan rakyat.


Dalam pada itu, Anwar juga menegaskan bahawa kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) adalah diputuskan sepenuhnya oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan beliau telah menggesa BNM agar meneliti juga isu fiskal dan keyakinan keseluruhannya berhubung kenaikan OPR.


Beliau berkata, penurunan kadar defisit fiskal yang terlalu mendadak akan menjejaskan ekonomi terutamanya projek-projek pembangunan negara khususnya pendidikan, kesihatan dan prasarana desa.

Comentários


bottom of page