PM jamin isu kewarganegaraan kanak-kanak lahir di luar negara sedang ditangani
- Wartawan Nabalu News
- Mar 13, 2024
- 1 min read

13 Mac 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
BERLIN: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memberikan jaminan bahawa kerajaan pada masa ini sedang menangani isu hak kewarganegaraan bagi kanak-kanak yang lahir di luar Malaysia.
Jelas beliau, Kabinet telah bersetuju untuk membawa usul pindaan terhadap Perkara 14(1)(b) Perlembagaan Persekutuan ke Parlimen dalam bulan ini.
"Sila ikuti perkembangan di tanah air... soalan anda telah diambil alih oleh peristiwa semasa. Kabinet telah bersetuju untuk membawa perkara itu ke Parlimen bulan ini," ujar Anwar ketika berinteraksi dengan diaspora Malaysia di sebuah majlis makan malam.
Tambah beliau, pindaan yang dicadangkan akan memperjelas definisi 'ibu bapa' dalam konteks kewarganegaraan.
"Ketika ini, ibu bapa membawa maksud bapa. Kami akan memindanya supaya ibu bapa bermaksud ibu atau bapa," jelas Perdana Menteri yang sedang berada di Jerman untuk lawatan rasmi selama enam hari.
Mengenai isu pengundian bagi rakyat Malaysia di luar negara, Anwar menyatakan bahawa beliau telah mengarahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk meneliti perkara tersebut.
Ini termasuk usaha untuk meningkatkan jumlah pusat-pusat pengundian dan mempertimbangkan pendaftaran secara automatik bagi pengundi Malaysia di luar negara.
Perdana Menteri juga menekankan bahawa pelajar Malaysia yang lulus dari institusi pendidikan di Jerman sangat diminati oleh majikan di Malaysia, memandangkan syarikat-syarikat Jerman yang beroperasi di Malaysia biasanya mencari lulusan tersebut untuk diambil bekerja.















Comments