PM Kesal Himpunan Turun Anwar, Tiada Isu Pokok
- nabalunews
- Jul 28, 2025
- 1 min read

28 Julai 2025
KUALA LUMPUR: “Saya sentiasa bersedia mendengar apa jua teguran dan kritikan, namun sedikit kesal kerana tiada isu pokok yang diketengahkan. Yang kedengaran cuma satu: “Turunkan Anwar”.
Demikian catatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di laman Facebook rasminya, merujuk kepada Himpunan Turun Anwar yang berlangsung di ibu negara semalam.
“Dalam menyusun langkah, teguran dan peringatan dalam perjuangan harus diraikan. Saya ucap terima kasih kepada semua yang berhimpun semalam kerana ia berlangsung secara aman,” katanya.
Mengulas mengenai laungan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin untuk membawa usul undi tidak percaya terhadapnya, Anwar berkata langkah itu adalah sebahagian daripada proses demokrasi.
“Silakan. Ini negara demokrasi. Usul itu satu proses yang sah. Jika cukup jumlah, bawa saja ke Parlimen,” katanya.
Anwar turut menegaskan kerajaan sentiasa terbuka membetulkan kelemahan serta meneruskan usaha reformasi demi kepentingan rakyat.
“Saya tidak pernah mendakwa kerajaan ini sempurna. Tapi kita tidak sombong untuk membetulkan kelemahan. Apa yang kurang, akan kita baiki. Apa yang belum selesai, akan kita usahakan.
“Namun reformasi itu mesti dilaksanakan secara berfasa agar dapat diterima, difahami dan berkekalan,” katanya.
Himpunan Turun Anwar anjuran pembangkang itu bertujuan mendesak Perdana Menteri meletakkan jawatan antara lain berhubung isu kos sara hidup.















Comments