top of page
  • nabalunews

PM mahu mulakan budaya baharu, noktah amalan keterlanjuran rasuah


31 Ogos 2024


PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu budaya baharu dimulakan dengan menoktahkan amalan keterlanjuran rasuah dan penyelewengan serta sikap khianat kepada negara.


Perdana Menteri berkata, pimpinan negara harus lebih bertanggungjawab, tidak mengizinkan amalan merompak kekayaan negara dan menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan peribadi.


“Apa erti kemerdekaan, tiap tahun ribuan anak beratur mengibarkan bendera keramat (Jalur Gemilang) menjerit ‘Merdeka’ tetapi jiwa dirasuk kerana kita mengizinkan dan sistem mengizinkan keterlanjuran yang berterusan.


“Kita belajar dari sejarah, buta sejarah, buta hati, buta perasan, buta ciri kemanusiaan akan menyebabkan negara ini menerima dendangan hasut, dengki, khianat, mengizinkan keterlanjuran rasuah dan penyelewengan, dan bila keadaan sampai ke tahap yang sudah parah dan rosak, tidak mungkin mudah diperbaiki lagi,” katanya.


Beliau berucap pada Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini semalam.


Pada masa sama, Anwar menyeru semua rakyat untuk menerima kenyataan bahawa kemerdekaan negara dicapai kerana kekuatan dan kesepaduan rakyat.


Walaupun berbeza pendapat dalam hal kecil, namun Perdana Menteri menegaskan, setiap rakyat mesti diberi perlindungan, ditunjuk kasih sayang dan diberikan pembelaan yang secukupnya.


“Saya mahu memanfaatkan kemerdekaan ini, Hari Kebangsaan 2024 sebagai tempat kita berpaut antara satu sama lain. Percayalah negara ini hebat kerana hebat rakyatnya.


“Negara ini potensinya lebih hebat kalau kita berpakat angkat darjat negara ini sebagai negara hebat di dunia ini. Apa kurangnya di negara kita, apa kurangnya? Kesedarannya, pencerahannya, keupayaan menarik pelaburan, tingkat pendidikan, kemudahan kesihatan, harus semua ini diperbaiki untuk yang paling kaya kepada yang paling miskin.


“Jangan pinggirkan sesiapa, negara ini mempunyai keupayaan. Sebab itu saya kata semangat perpaduan itu sangat penting dan tidak boleh sama sekali diremehkan,” katanya.

Comments


bottom of page