top of page

POLIS MARIN TAHAN LELAKI LANGGAR PKPB DI SUNGAI MADAI, KUNAK

  • nabalunews
  • Nov 18, 2020
  • 1 min read

18 NOV 2020


KUNAK: Pasukan Polis Marin (PPM) menahan seorang lelaki tempatan di kawasan Sungai Madai di sini, malam tadi selepas didapati melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).


Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Lahad Datu Supt Gan Ping Sin berkata lelaki berusia 51 tahun itu ditahan pada 10 malam ketika membawa 24 batang kayu jenis Selangan Batu menggunakan perahu jongkong.


"Bertindak atas maklumat, pegawai dan anggota PPM yang membuat rondaan menahan dan memeriksa perahu jongkong yang dalam keadaan mencurigakan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.


Gan berkata tangkapan dan rampasan bernilai RM26,000 itu kemudian dibawa ke Pos PPM, Kunak sebelum diserahkan kepada Jabatan Perhutanan untuk tindakan lanjut.


Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum ini menetapkan prosedur operasi standard (SOP) bagi aktiviti di laut antaranya membenarkan gerakan keluar bot-bot kecil dari pulau-pulau di negeri Sabah ke tanah besar termasuk pergerakan bot-bot di kawasan pesisiran pantai bagi tujuan membeli makanan dan keperluan asas hanya dibenarkan mulai 6 pagi hingga 2 petang.


Sementara itu bagi bot-bot nelayan di perairan Zon Selamat Timur Sabah yang berdaftar dengan Jabatan Perikanan, ia dibenarkan melakukan aktiviti dari 6 pagi hingga 6.00 petang dan kebenaran ini tertakluk kepada permit yang dikeluarkan oleh ketua polis daerah berkenaan.


Dalam pada itu, katanya PPM menggesa komuniti maritim agar menyalurkan maklumat melalui aplikasi WhatsApp Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah di talian 013-2831197 atau menghubungi Bilik Gerakan PPM Lahad Datu di talian 013-9808084 bagi memastikan keselamatan setempat terkawal. - Bernama

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page