Polis siasat dakwaan buli, serangan fizikal libat dua murid sekolah rendah
- nabalunews
- 3 days ago
- 2 min read

Oleh: Romie Stanley DGuns
KOTA KINABALU, 8 Julai – Polis sedang menyiasat dakwaan kejadian buli dan serangan fizikal yang membabitkan dua murid sekolah rendah di daerah ini selepas menerima laporan daripada bapa kedua-dua mangsa pada Isnin lalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Abdul Rahman, berkata laporan dibuat pada 7 Julai selepas pengadu mendakwa kedua-dua anaknya menjadi mangsa gangguan dan serangan fizikal oleh seorang murid lelaki.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian pertama dipercayai berlaku pada 6 Julai apabila seorang murid perempuan berusia 12 tahun didakwa ditendang di bahagian belakang kepala oleh rakan sekelasnya.
“Keesokan harinya, adik mangsa yang bersekolah di sekolah yang sama pula didakwa ditendang di bahagian perut oleh murid lelaki yang sama.
“Menurut laporan, mangsa perempuan mengalami sakit kepala, manakala adiknya berada dalam keadaan trauma dan ketakutan akibat kejadian itu,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Syed Lot berkata, pengadu turut mendakwa suspek sering mengganggu kedua-dua mangsa melalui panggilan berunsur penghinaan serta melakukan gangguan fizikal di dalam kelas secara berterusan sejak awal sesi persekolahan.
Katanya, polis kini menjalankan siasatan lanjut termasuk mengenal pasti identiti penuh suspek, merakam percakapan mangsa, saksi, guru serta pihak pentadbiran sekolah.
“Pemeriksaan perubatan ke atas mangsa turut dijalankan bagi menentukan tahap kecederaan yang dialami,” katanya.
Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan dan Seksyen 507(b) Kanun Keseksaan.
Beliau berkata, polis memandang serius setiap bentuk buli dan keganasan yang membabitkan kanak-kanak serta akan menjalankan siasatan secara telus dan menyeluruh.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang boleh menjejaskan siasatan serta identiti kanak-kanak yang terlibat.
Mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Movendran A/L Apoorvasamy di talian 018-5746310 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran. Segala maklumat yang diterima akan dirahsiakan.















Comments