Polis tangkap 2 lelaki ugut peminjam wang Ah Long
- nabalunews
- Aug 28, 2024
- 1 min read

28 Ogos 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
TAWAU: Polis menangkap dua lelaki warga tempatan dipercayai mengugut peminjam wang Ah Long dengan menyimbah cat merah di rumah mangsa bagi menuntut hutang, Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek berumur 29 dan 31 tahun itu diberkas sepasukan pegawai dan anggota polis yang berjaya mengesan mereka di Felda Umas, Kalabakan, kira-kira jam 10 malam.
Katanya, pemeriksaan ke atas kenderaan suspek turut menemukan satu bekas botol kosong terdapat kesan cat merah, sehelai kertas notis amaran ‘bayar hutang’ beserta pen merah yang disimpan di dalam but belakang kereta.
"Hasil siasatan awal mendapati kedua-dua suspek mengaku terlibat dengan kes yang disiasat," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Tambahnya, suspek berumur 29 tahun itu pula turut didapati mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan dadah di Kinabatangan.
Jasmin berkata, siasatan lanjut mendapati kejadian simbah cat dan ugutan itu disyaki dilakukan oleh pemberi pinjaman wang online (Ah Long) yang mahu menuntut hutang daripada mangsa dengan mengupah suspek untuk melakukan jenayah tersebut.
Terdahulu, polis menerima aduan daripada mangsa, 27, yang mengatakan pintu dan dinding rumahnya disimbah cat merah oleh seorang individu tidak dikenali pada 24 Ogos lalu di rumah kediamannya di Batu 6, Jalan Apas.
Katanya, individu berkenaan turut meninggalkan satu pesanan pada sehelai kertas serta menulis nombor telefon, nama dan nombor kad pengenalan mangsa untuk menyelesaikan hutang.
“Suspek juga meninggalkan pesanan suara dengan ugutan untuk membakar kereta pengadu dan keluarganya serta mengugut mengetahui kedudukan mangsa," katanya lagi.
Jasmin berkata, kedua-dua suspek direman sehingga 30 Ogos depan untuk siasatan lanjut mengikut seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang (APPW) 1951.
Comments