top of page
  • Wartawan Nabalu News

POS KAWALAN MARIN DI PKPD KINARUT


Gambar Hiasan

18 Jun 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Gerakan Marin PDRM mendirikan pos kawalan di Kuala Sungai Kinarut untuk memantau pergerakan bot di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Kg.Gusi dan Skim Penempatan Kinarut.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, ia bagi memastikan kawalan penularan Covid-19 di kawasan itu dapat dibendung ke tahap maksimum.


“Bermula 18 Jun (hari ini), pos kawalan yang beroperasi 24 jam sepanjang tempoh PKPD itu bertujuan menyekat sebarang cubaan keluar menggunakan jalan air oleh penduduk di kawasan yang dikenakan PKPD.


“Kerajaan Negeri merakamkan penghargaan kepada Polis Kontinjen Sabah atas pelaksanaan pos kawalan tersebut,” katanya dalam kenyataan akhbar, di sini, hari ini.


Sementara itu Masidi berkata, PKPD Kampung Gusi Kinarut Papar yang dijadualkan tamat pada 19 Jun, dilanjutkan sehingga 3 Julai.


Beliau berkata, sepanjang pelaksanaan PKPD di lokaliti itu, KKM telah melakukan 346 ujian saringan dan 141 daripadanya disahkan positif Covid-19.


“Pada masa sama, KKM mendapati penularan masih berlaku, terdapat juga kes baharu direkodkan dalam kalangan komuniti dan masih banyak sampel ujian saringan belum mendapat keputusan.


“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan Negeri bersetuju melanjutkan PKPD di Kampung Gusi Kinarut bermula 20 Jun sehingga 03 Julai selaras dengan keputusan Kerajaan Persekutuan,” katanya.



コメント


bottom of page