Potongan 50 Peratus Bayaran Tol Sempena Tahun Baharu Cina 2025

24 Januari 2025
KUALA LUMPUR: Kerajaan Madani hari ini bersetuju memberikan potongan tol sebanyak 50 peratus sempena Perayaan Tahun Baru Cina 2025.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, keputusan yang ditetapkan dalam mesyuarat kabinet itu melibatkan implikasi kewangan berjumlah RM20.08 juta bagi membayar balik pampasan kepada Syarikat Konsesi Tol.
Katanya, keputusan memberikan diskaun 50 peratus dari kadar biasa tol ini akan dilaksanakan bermula pada jam 12.01 tengah malam 27 Januari dan akan berakhir pada jam 11.59 malam 28 Januari untuk kenderaan persendirian Kelas 1 di semua plaza tol.
“Bagaimanapun, ia terkecuali untuk plaza tol di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA).
“Pemberian ini adalah kesinambungan kepada bantuan tol musim perayaan yang diberikan Kerajaan Madani untuk empat perayaan utama di semenanjung Malaysia sejak tahun 2023.
“Sepanjang tempoh tersebut, Kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM356.18 juta sebagai pampasan bagi pelaksanaan bantuan Tol Percuma Musim Perayaan dari 2023 hingga 2024,” katanya.
Alexander berkata, pengumumannya sebelum ini berkenaan pemberian tol percuma musim perayaan yang sepatutnya berakhir pada perayaan Krismas 2024 adalah berdasarkan keputusan Mesyuarat Kabinet pada 20 Disember tahun lalu.
“Bagaimanapun, Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini bersetuju memberikan diskaun tol 50 peratus sempena perayaan Tahun Baharu Cina 2025.
“Ia selaras dengan agenda Kerajaan MADANI dalam menjaga perpaduan dan kesejahteraan rakyat yang didukung oleh kedudukan kewangan Kerajaan yang kukuh hasil dari program rasionalisasi subsidi serta peningkatan pelaburan dan perdagangan.
“Semua pengguna lebuh raya diharapkan dapat memanfaatkan pengurangan kadar tol ini dengan sebaiknya dan merancang perjalanan dengan sewajarnya bagi mengelakkan kesesakan lalu-lintas semasa cuti panjang ini,”katanya.
Sehubungan itu, Alexander menyarankan pengguna memuat-turun apps MYPLUS-TTA di PLUS App (Official) bagi mendapatkan cadangan jadual waktu perjalanan.
“Semua pengguna jalan raya dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi arahan papan tanda dan maklumat yang dipaparkan di Variable Message System (VMS).
“Pengguna yang menggunakan lorong Smart Lane diminta memberi isyarat awal sebelum memasuki lorong Smart Lane yang telah diaktifkan, memandu dengan kelajuan yang ditetapkan dan peka dengan keadaan sekeliling semasa.
“Pengguna juga disarankan untuk menyemak status trafik semasa atau sebarang insiden di lebuh raya yang dikemaskini melalui media sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) iaitu di Facebook (Lembaga Lebuhraya
Malaysia), di aplikasi X (@LLMtrafik) serta di TikTok (@llmtrafik).
“Pengguna lebuh raya juga boleh menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1-800-88-7752 untuk memperolehi keadaan trafik terkini atau bantuan.
“Bagi mendapatkan maklumat keadaan trafik semasa melalui paparan CCTV di semua lebuh raya, pengguna juga boleh melayari laman sesawang LLM di https://www.llm.gov.my. Di samping itu, maklumat keadaan trafik juga boleh diperolehi daripada WhatsApp Channel LLM Info Trafik,” katanya.
Comentarios