PPM Rampas 250,000 Liter Diesel Yang Cuba Diseleweng
- nabalunews
- Aug 1, 2025
- 1 min read

1 Ogos 2025
KOTA KINABALU: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya merampas 250,000 liter minyak diesel yang dipercayai cuba diseleweng dalam operasi di perairan ibu negeri, semalam.
Dalam operasi jam 4.30 pagi itu, dua kapal yang digunakan untuk aktiviti berkenaan turut dirampas dan menjadikan jumlah keseluruhan rampasan sebanyak RM45.59 juta.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Nazri Ibrahim berkata, operasi dilaksanakan hasil risikan dan pemantauan selama hampir sebulan.

Katanya, serbuan turut disertai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), serta Jabatan Laut.
“Sebaik diserbu, dua kapal dan enam lelaki tempatan berusia 25 hingga 43 tahun yang juga kru kapal terus ditahan untuk siasatan.
“Hasil pemeriksaan menemui 250,000 liter minyak diesel yang disyaki digunakan bagi tujuan penyelewengan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pasukan operasi turut merampas dua kapal beserta peralatan lain dan beberapa dokumen berkaitan untuk siasatan lanjut.
Katanya, hasil maklumat, pihaknya percaya kedua-dua kapal itu aktif menjalankan kegiatan transaksi minyak diesel bersubsidi secara haram kepada pelbagai vassel di perairan Kota Kinabalu.
“Anggaran nilai keseluruhan rampasan termasuk kedua-dua kapal dianggarkan berjumlah RM 45.59 juta,” katanya.
Sementara itu, Nazri berkata, sejak Januari hingga Jun tahun ini, PPM Sabah merekodkan 119 kes penyelewengan bahan api petrol dan diesel membabitkan rampasan bernilai RM81.25 juta.
Katanya, sepanjang tempoh itu, PPM Sabah juga telah menahan 135 individu disyaki dalang kegiatan berkenaan.
“PPM Wilayah 4 Sabah, sentiasa mengalu-alukan maklumat dan kerjasama daripada seluruh komuniti orang awam untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang negara.
“PPM Wilayah 4 Sabah akan terus komited dalam membanteras jenayah penyeludupan demi keselamatan dan kesejahteraan negara,” katanya.















Comments