Premium insurans perubatan belum dimuktamadkan - PM
6 Disember 2024
PUTRAJAYA : Penetapan premium insurans perubatan bagi tahun depan belum dimuktamadkan kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurutnya, beliau dimaklumkan bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) kini sedang memuktamadkan perkara itu selepas perbincangan bagi menetapkan kenaikan premium, dirunding semula dengan pihak berkaitan.
"Sebenarnya laporan BNM mahu muktamadkan (premium insurans) setelah dia berunding balik (dengan pihak insurans).
"Setakat ini prosesnya masih dirunding semula," katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Manar, Presint 14, di sini, hari ini.
Sebelum itu, media melaporkan BNM mengarahkan penanggung insurans dan pengendali takaful (ITO) untuk menyemak strategi penentuan semula harga untuk memastikan pelaksanaan yang lebih wajar.
Menurut BNM, hal itu termasuk menguruskan secara berterusan kenaikan premium/sumbangan dengan mengambil kira impak terhadap pemegang polisi/peserta takaful.
Semalam, Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying, dilaporkan berkata, syarikat insurans dan pengendali takaful (ITO) sudah menyatakan persetujuan untuk mengambil langkah wajar termasuk meneliti semula cadangan menaikkan harga premium insurans perubatan yang dijangka meningkat sehingga 70 peratus tahun depan.
Hui Ying dilaporkan berkata, antara komitmen dipersetujui ITO adalah melaksanakan pelarasan semula harga premium insurans perubatan secara berperingkat.
Selain itu, ITO akan memastikan ada talian hotline khusus bagi setiap syarikat untuk menawarkan caruman fleksibel, memberikan pilihan untuk pelan perkhidmatan berbeza dan menyediakan mekanisme penyelesaian yang lebih berkesan.
Comments