top of page
  • Wartawan Nabalu News

Presiden parti tempatan Sabah ditahan disyaki terlibat dalam sindiket pemalsuan kad pengenalan


30 Jun 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Seorang presiden parti tempatan Sabah ditahan kerana disyaki terlibat dalam sindiket kad pengenalan palsu.


Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, presiden parti politik itu dikenali sebagai Mohd Arshad Abdul Mualap, 48.


Tambah beliau, suspek ditahan bersama seorang lagi lelaki, Mohamad Amkah Ahmad, 46, di Subang Jaya pada 22 Jun dan mereka didakwa di mahkamah pada Khamis (hari ini).


“Kami percaya sindiket tersebut telah beroperasi sekurang-kurangnya beberapa bulan.


"Mereka menjual IC yang tidak sah kepada mereka yang tidak mempunyai kewarganegaraan Malaysia," katanya pada sidang media pada hari ini.


Jelas Hamzah, sindiket itu mendakwa kad berkenaan yang turut dilengkapi kod QR akan memberi faedah kepada pemegangnya termasuk perubatan dan pendidikan.


“Kedua-dua mereka ditahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.


Hamzah berkata, seorang warga asing yang berpangkalan di luar negara memberi maklumat kepadanya dan beliau kemudiannya menyerahkan maklumat itu kepada Polis Diraja Malaysia, seterusnya mengambil tindakan.


“Kami percaya sindiket itu telah memperdaya ratusan mangsa,” katanya.


Difahamkan, sindiket itu menjual kad berkenaan berharga antara RM500 dan RM1,000.


Hamzah berkata, hanya terdapat empat kad pengenalan yang sah di negara ini.


“Kad biru dikeluarkan kepada warganegara Malaysia, kad merah untuk warga asing berstatus pemastautin tetap, hijau untuk warga asing yang bekerja di Malaysia dan coklat untuk rakyat Malaysia yang disabitkan dengan jenayah berat.


“Ini adalah satu-satunya kad pengenalan yang sah di negara ini. Oleh itu, saya menyeru orang ramai supaya tidak terpedaya dengan sindiket sebegitu.


“Di Sabah, dokumen sementara dikenali sebagai IMM13 dikeluarkan kepada warga asing oleh Jabatan Imigresen,” katanya.


Hamzah berkata kementeriannya tidak pernah mengarahkan mana-mana pihak lain untuk mengeluarkan sebarang kad pengenalan lain.

bottom of page