Prestasi ekonomi negara dijangka akan meningkat berpandukan pengukuhan ringgit, pertumbuhan ekonomi – PM Anwar
26 Jun 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyatakan keyakinannya bahawa prestasi ekonomi negara akan bertambah baik, dengan mengambil kira pengukuhan kadar ringgit serta pertumbuhan ekonomi yang positif setakat suku pertama tahun ini.
Beliau turut mengulas laporan Institut Pembangunan Pengurusan Antarabangsa (IMD) yang meletakkan Malaysia di tangga ke-34 dalam Indeks Daya Saing Dunia 2024, tetapi menegaskan bahawa kedudukan itu masih menunjukkan ekonomi negara berada dalam kategori stabil.
Ujar Beliau, kedudukan indeks daya saing Malaysia masih tidak membimbangkan bagi subsektor ekonomi iaitu pada tangga ke-8.
Anwar menekankan bahawa peningkatan prestasi ekonomi negara boleh dicapai dengan memberi tumpuan kepada tiga perkara utama: pertumbuhan ekonomi, pengukuhan ringgit, dan penyasaran subsidi.
"Kalau kita ambil langkah-langkah ini dengan tegas, dia boleh melonjak. Ikut unjuran kita, berdasarkan prestasi suku tahun pertama 2024, kita akan jauh meningkat daripada tahun sebelumnya," jelasnya.
Menjawab soalan tambahan daripada Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Datuk Haji Taib Azamudden, Anwar mengakui bahawa seluruh Jemaah Menteri perlu berusaha untuk memperbaiki prestasi mereka.
"Saya setuju bahawa semua termasuk saya dan rakan-rakan jemaah menteri, semuanya harus perbaiki prestasi kita sedaya-upaya kita. Jadi, saya terima baik teguran itu dan saya akan sampaikan kepada mesyuarat Jemaah Menteri," ujarnya.
Sementara itu, Perdana Menteri menafikan dakwaan Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid, bahawa kejatuhan kedudukan negara dalam Indeks Daya Saing Global 2024 adalah disebabkan pelaksanaan penyasaran subsidi.
Anwar memberi contoh prestasi Indonesia dan Thailand yang meningkat setelah melaksanakan penyasaran subsidi harga barang di negara masing-masing.
Beliau juga menyatakan bahawa kenaikan gaji perkhidmatan awam tidak akan menjejaskan ekonomi negara jika penyasaran subsidi dan kerangka ekonomi diperbaiki.
"Betul kita ada masalah kekangan kewangan. Tapi saya sebagai bapa kepada penjawat awam, fikir jugalah 12 tahun tidak ada kenaikan. Jadi sebab itu kita pertimbangkan. Kalau naikkan pun, naikkan sedikit. Ala kadar sahaja tidak membantu. Tetapi saya tidak fikir ini akan menjejaskan kalau penyasaran subsidi dan kerangka ekonomi keseluruhannya itu diperbaiki," katanya di Parlimen semalam.
Comments