Produk Kesihatan dan Ubat-Ubatan Tidak Berdaftar Dirampas
- nabalunews
- May 25
- 1 min read

25 Mei 2025
LAHAD DATU: Seorang warga emas berusia 66 tahun ditahan selepas didapati memiliki pelbagai produk kesihatan termasuk ubat-ubatan disyaki tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Semua produk yang dianggarkan bernilai lebih RM139,000 itu dirampas dalam operasi di sebuah premis syarikat penghantar barang di Bandar Sri Perdana, di sini, semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintendan Jimmy Panyau berkata, bertindak atas maklumat, operasi dilaksanakan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu.

Katanya, hasil pemeriksaan di premis syarikat penghantaran barangan itu menemui pelbagai produk kesihatan dan ubat-ubatan disyaki tidak berdaftar KKM.
“Antara yang dirampas termasuk 60 botol Stem Cell Activin, 20 botol Cell Essence Energy Peptide, 120 biji pil Red Cialis Essence dan 120 biji pil tidak berlabel.
“Pasukan operasi kemudiannya menahan seorang lelaki tempatan berusia 66 tahun untuk membantu siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sementara itu, dalam serbuan berasingan di Kampung Sri Aman, Jalan Silam, di sini, polis berjaya menahan dua lelaki selepas didapati memiliki dadah disyaki jenis syabu.
Jimmy berkata, kedua-dua lelaki berusia 36 dan 55 tahun itu ditahan bersama dadah seberat 0.18 gram dan 0.17 gram.
“Hasil ujian saringan awal mendapati kedua-dua suspek negatif dadah, namun siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,”katanya.

Sehubungan itu, Jimmy menegaskan, pihak akan terus komited dalam usaha membanteras aktiviti pengedaran dadah serta penyalahgunaan produk kesihatan tidak sah.
Katanya, orang ramai diingatkan agar tidak terlibat dengan pembelian atau pengedaran produk tanpa kelulusan KKM kerana ianya bukan saja menyalahi undang-undang, malah boleh mengancam nyawa pengguna.
Comments