Program Bulan Kesedaran Kanser Mulut tingkatkan kesedaran kalangan masyarakat Kota Belud
27 Februari 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA BELUD: Sebuah program Bulan Kesedaran Kanser Mulut anjuran Klinik Pergigian Kota Belud kerjasama dengan Unit Promosi Pergigian Kawasan Kota Belud telah diadakan baru-baru bagi meningkatkan kesedaran tentang kanser mulut dalam kalangan masyarakat khususnya penduduk kawasan ini.
Program ini bertujuan untuk menyampaikan maklumat yang penting dan tepat kepada semua lapisan masyarakat untuk tidak membina tabiat atau faktor risiko yang boleh menyebabkan kepada kanser mulut.
Majlis tersebut dirasmikan oleh ADUN Usukan Datuk Seri Panglima Dr. Mohd Salleh Tun Said, di Dataran Kota Belud, pada Sabtu yang lalu.
Turut hadir dalam majlis perasmian itu ialah pengerusi penganjur Ketua Klinik Pergigian Kota Belud Dr. Norzuliza bt. Goloi, wakil-wakil kepada ADUN Kadamaian Datuk Ewon Benedick, Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis, dan ketua-ketua jabatan.
Pemaju Masyarakat UPPM Kadamaian, Clarence Somuil mewakili Datuk Ewon.
Sebelum ini, Klinik Pergigian Kota Belud telah menjayakan program Minggu Kesedaran Kanser Mulut dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan seperti saringan kanser mulut, ceramah dan pameran di kampung-kampung sekitar Kota Belud.
Antara program yang telah dijalankan sebelum ini, seperti Mouth Cancer Awareness Week Hike-A-Thon Bukit Bongol, Program Explorace Mouth Cancer Awareness 2018, dan Program Beach Run yang bertemakan "Care4All" di Pantai DRB Nanamun.
Sebanyak 667 kes kanser mulut dilaporkan terjadi di Malaysia pada 2018, dan Sabah dan Sarawak merupakan negeri yang mencatatkan kejadian kanser mulut tertinggi.
Pada tahun 2023, sebanyak 8 kes yang telah dirujuk ke klinik pakar bedah mulut dan Maksilofasial di Hospital Queen Elizabeth. Hal ini harus dipandang serius dan harus diatasi dengan meningkatkan kesedaran tentang bahayanya tabiat seperti mengunyah sirih pinang.
Bulan Kesedaran Kanser Mulut akan dijalankan pada setiap tahun di seluruh dunia dengan pelaksanaan pelbagai aktiviti dan kempen untuk memberikan kesedaran kepada orang ramai tentang bahaya kanser mulut.
Comments