top of page

PROGRAM ISOLASI PEKERJA MASKARGO KLIA BERMULA ESOK - ISMAIL SABRI

  • nabalunews
  • Nov 25, 2020
  • 2 min read

25 NOV 2020


KUALA LUMPUR: Program Isolasi Pekerja Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan dilaksanakan selama 14 hari bermula esok hingga 9 Dis, susulan peningkatan kes positif COVID-19 daripada Kluster Kaya yang melibatkan pekerja MAB Kargo Sdn Bhd (MASkargo) di KLIA.


Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini bersetuju menjalankan program itu yang melibatkan 360 pekerja MASkargo di KLIA yang sihat, tidak bergejala dan disahkan negatif COVID-19.


“Pekerja terbabit akan ditempatkan di Tune Hotel KLIA Aeropolis dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat dengan pemantauan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara dan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini hari ini.

Mengenai ujian saringan COVID-19 dalam kalangan pekerja warga asing, Ismail Sabri memaklumkan bahawa seramai 888,342 individu di Selangor, Kuala Lumpur, Labuan, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Sabah akan disaring pada peringkat fasa pertama yang dijangka mengambil masa antara empat hingga enam minggu.


“Kesemua pekerja terbabit akan disaring melalui kaedah Kit Ujian Pantas (RTK)-Antigen dengan kos RM60 bagi setiap ujian saringan akan ditanggung Pertubuhan Keselamatan Sosial manakala Kementerian Sumber Manusia akan menyediakan jadual terperinci bagi mengelak berlakunya kesesakan,” katanya.


Kerajaan sebelum ini mewajibkan ujian saringan COVID-19 bagi semua pekerja warga asing di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Labuan dan Sabah dalam usaha menyekat penularan wabak itu.

Justeru, Ismail Sabri menggesa majikan agar membenarkan pekerja warga asing untuk menjalani ujian itu.


Dalam perkembangan lain, beliau berkata kerajaan juga akan menumpukan kepada aspek penguatkuasaan penempatan dan perumahan pekerja warga asing di bawah Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).


Katanya penguatkuasaan itu akan dilaksanakan bermula esok bagi memastikan setiap majkan menyediakan perumahan yang selesa kepada pekerja terbabit.


“Bagi majikan yang gagal mematuhi akta ini, mereka boleh dikenakan denda sebanyak RM50,000 bagi setiap pekerja,” katanya. - Bernama

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page