Program Jerayawara SMJ tingkatkan peranan komuniti, NGO dan belia dalam pembangunan modal insan
9 December 2024
SOOK: Program Jerayawara Sabah Maju Jaya (SMJ) Belia Membangun Bersama Komuniti bertujuan untuk meningkatkan semangat dan peranan komuniti, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan belia dalam pembangunan modal insan di bawah insiatif hala tuju SMJ.
Menteri Belia Dan Sukan Sabah Datuk Ellron Angin berkata, selain itu program ini bertujuan untuk memperhebatkanlagi lperanan belia dalam pembangunan modal insan terutamanya dalam bidang Pendidikan dan Kemahiran Vokasional (TVET) yang penting untuk masa depan negeri ini.
Ellron yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sook berkata demikian semasa berucap merasmikan Program Jerayawara SMJ: Belia Membangun Bersama Komuniti anjuran Majlis Belia Sabah (MBS) di dewan masyarakat Sook di sini pada Sabtu.
Pada masa sama Ellrom memaklumkan bahawa Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Sabah sentiasa memberikan sokongan dan bekerjasama dengan MBS dalam setiap program kebeliaan.
Katanya, peranan AADK dalam menuntun MBS memperhebat lagi kempen “Lebih Baik Cegah” di peringkat komuniti amat penting bagi memastikan penyampaian maklumat terkini berkaitan bahaya penyalahgunaan dadah dan dasar-dasar kerajaan yang baru.
"Oleh yang demikian, kerjasama utuh seperti ini amat penting bagi memastikan kita mampu menyiapkan pemimpin masa depan yang cemerlang dari sudut akademik mahupun sahsiah diri.
Inisiatif sebegini membuktikan bahawa Jawatankuasa Kerja MBS serius dalam membantu Kerajaan Negeri melahirkan belia berkaliber di masa akan datang. Saya berharap agar usaha dapat diperluaskan lagi sehingga ke peringkat akar umbi" jelasnya.
Ellron turut mengucapkan tahniah kepada pihak AADK yang telah bertungkus lumus dalam memastikan program kebeliaan relevan dalam membantu kerajaan membanteras penyalahgunaan dadah.
Menurut Ellron, inovasi program kebeliaan akan membentuk MBS lebih cekal dalam mendepani isu dan cabaran mendatang.
Comments