Program Jiwa Komuniti MADANI Meriah di Kampung Nahaba
- nabalunews
- 2 days ago
- 1 min read

17 Julai 2025
KOTA BELUD: Dewan Tamu Desa Layu di Kampung Nahaba, Kota Belud bergema dengan sorakan dan gelak tawa apabila Program Jiwa Komuniti MADANI @ Kemasyarakatan X Perayaan berlangsung dengan penuh kemeriahan hari ini. Program ini menggabungkan elemen kemasyarakatan dan hiburan sebagai usaha mempererat silaturahim dalam kalangan penduduk pelbagai lapisan usia.
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Ketua Komuniti MADANI Kampung Nahaba, Encik Liasin Gitik, yang menekankan pentingnya nilai perpaduan dan semangat gotong-royong dalam menggerakkan pembangunan desa. Turut menyampaikan ucapan ialah Pegawai Penerangan Daerah Kota Belud, Puan Rosnaniwati Rashidi, yang menyeru masyarakat agar terus menyokong agenda MADANI demi kesejahteraan bersama.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pegawai Kemajuan Masyarakat (CDO), Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat Pusat Khidmat ADUN N11 Kadamaian, Encik Juin Kolod yang mewakili YB Datuk Ewon Benedick, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri N11 Kadamaian. Dalam ucapannya, beliau menegaskan komitmen berterusan kerajaan dalam menyokong penganjuran program-program inklusif yang menyemarakkan semangat kebersamaan.

Antara pengisian program yang menceriakan suasana termasuk Jualan Rahmah, penyampaian sumbangan dan cenderahati, cabutan tiket bertuah, persembahan karaoke serta pelbagai permainan rakyat seperti tarik tali yang melibatkan penyertaan lelaki, wanita dan kanak-kanak.
Program ini bukan sahaja menyerikan komuniti setempat, malah menjadi platform penting dalam memupuk semangat perpaduan, keharmonian dan kemajuan dalam kalangan masyarakat kampung.