Program PPK Kadamaian, Manfaatkan Penjaja dan Peniaga Kecil
6 Disember 2024
KOTA BELUD: Program Pendidikan Usahawan dan Pendataan Penjaja dan Peniaga Kecil (PPK) yang bertujuan meningkatkan daya saing peniaga kecil melalui pendidikan keusahawanan, pengurusan kewangan dan akses kepada perlindungan sosial, diteruskan di Tamu Desa Mingguan Taginambur, Kadamaian Square, di sini, pada Jumaat.
Program ini adalah kerjasama strategik antara Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kumpulan DataPPK dengan matlamat memperkasakan penjaja dan peniaga kecil tempatan.
Aktiviti yang dijalankan di sepanjang program ini termasuk penerangan mengenai kepentingan pendataan dan platform Pendataan PPK, yang memainkan peranan penting dalam mengumpul data strategik penjaja dan peniaga kecil.
Data ini membolehkan golongan penjaja dan peniaga kecil mendapat akses kepada bantuan pembangunan perniagaan yang lebih terancang dan berdaya maju.
Peserta turut diberi taklimat mengenai kepentingan memiliki lesen perniagaan dan kemahiran pengurusan kewangan serta pengetahuan mengenai akaun, bagi meningkatkan keupayaan peserta dalam menguruskan kewangan perniagaan dengan lebih baik.
Taklimat mengenai insentif kewangan seperti geran dan bantuan kerajaan turut diadakan bagi membuka peluang kepada penjaja kecil untuk memanfaatkan sokongan kerajaan dalam mengembangkan perniagaan mereka.
Wakil PERKESO turut memperkenalkan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SPS) untuk penjaja kecil.
Selain itu, KWSP mempromosikan skim tabungan khas, yang membolehkan peniaga kecil membuka akaun dengan simpanan serendah RM10, bagi memastikan kestabilan kewangan mereka di masa depan.
Program ini turut dihadiri oleh Kapten DataPPK, Achmad Noorasyrul Noortaip, yang juga Naib Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil (G3PNS), dan Anichlose Kesimin, Pemaju Mukim dari Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian.
Kehadiran yang ramai menunjukkan kesedaran yang semakin meningkat mengenai kepentingan pendidikan keusahawanan, pendataan strategik, dan perlindungan sosial bagi golongan penjaja dan peniaga kecil.
"Inisiatif ini mencerminkan usaha bersepadu pihak berkaitan untuk memperkasakan ekonomi penjaja kecil, menyediakan kami dengan kemahiran, sokongan sosial dan akses teknologi.
"Langkah ini memastikan kami mampu berkembang dalam persaingan ekonomi moden sambil menjamin masa depan kami agar lebih stabil," kata beberapa peserta program yang ditemui Nabalu News.
Comments