Program Sembang Santai J@Pen Ranau tingkat kesedaran rakyat
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Program Sembang Santai J@Pen Ranau tingkat kesedaran rakyat


30 Mac 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


RANAU: Rakyat di Ranau dapat mengetahui lebih lanjut mengenai inisiatif kerajaan melalui Platform Program Sembang Santai yang dianjurkan oleh Pejabat Penerangan Ranau.


Program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran rakyat terhadap isu semasa dan mengeratkan jaringan komunikasi antara masyarakat setempat, agensi kerajaan dan bukan kerajaan.


Pegawai Penerangan Ranau, Kenny Thomas berkata program ini juga selaras dengan konsep Malaysia Madani yang memastikan rakyat tidak ketinggalan dari segi penerimaan maklumat.


“Jabatan Penerangan berperanan untuk menyampaikan maklumat agar difahami oleh semua lapisan masyarakat,” katanya pada Program Sembang Santai J@Pen – Jalinan Insan Wahana Aspirasi (JIWA) yang diadakan baru-baru ini.


Antara pengisian program termasuklah taklimat jenayah ‘scam’ yang disampaikan oleh Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Ranau, Insp Murugan A/L Doraiya, dan taklimat Malaysia Madani yang disampaikan oleh Kenny.


Selain itu, Pegawai Daerah Ranau, Jumain Abdul Ghani turut melancarkan kumpulan Whatsapp Sahabat J@Pen Ranau yang dikelolakan oleh Pejabat Penerangan Ranau.


Jumain berharap agar platform tersebut digunakan sebaik mungkin bagi membantu pihak kerajaan dalam memerangi berita dan maklumat palsu.


Beliau juga menggesa rakyat untuk memberi sokongan dan kerjasama kepada kerajaan dalam usaha membangunkan negara.


Program Sembang Santai J@Pen Ranau merupakan salah satu daripada program komuniti yang dianjurkan oleh Jabatan Penerangan bagi menjalin hubungan baik dengan rakyat.

bottom of page