Program Sukan Natal Mantapkan Perpaduan Komuniti Melangkap
Oleh : Romie Stanley DGuns
9 Disember 2024
KOTA BELUD : Program Sukan Natal anjuran Persekutuan Sidang Malangkap (PERSIAP) yang berlangsung pada 7 Disember berjaya mewujudkan suasana harmoni dan semangat perpaduan di kalangan penduduk lima kampung di kawasan Melangkap, Kota Belud.
Acara ini yang diadakan dengan kerjasama Gereja Sidang Injil Borneo (SIB) PERSIAP melibatkan Kampung Melangkap Baru, Melangkap Tomis, Melangkap Noriou, Melangkap Kapa, dan Melangkap Tiong, menampilkan pelbagai acara sukan seperti bola sepak, sepak takraw, badminton, dan bola tampar yang menarik penyertaan semua lapisan masyarakat.
Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) N11 Kadamaian, Saikom Watis, hadir merasmikan mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick. Dalam ucapannya, Saikom menyampaikan salam kemaafan daripada Ewon yang tidak dapat hadir serta menyampaikan ucapan berkat Natal kepada hadirin.
Beliau menegaskan pentingnya program seperti ini untuk mengeratkan hubungan antara masyarakat.
“Program seperti ini penting untuk memupuk semangat perpaduan, bukan sahaja di kalangan generasi muda tetapi juga seluruh komuniti,” katanya.
Wiktor Lankin, Pengerusi Bersama Pelaksana, merakamkan penghargaan kepada Ewon atas sumbangannya yang telah membantu menyediakan kelengkapan sukan untuk acara ini.
“Sumbangan ini bukan sahaja memastikan kelancaran program tetapi juga memperlihatkan usaha menyeluruh untuk pembangunan sosial di Melangkap,” ujar Wiktor.
Ketua Pemuda UPKO Bahagian Kota Belud, Jolyhame Saran, turut hadir.
Penduduk setempat berharap program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai platform bukan sahaja untuk bersukan tetapi juga untuk menyatukan masyarakat dari pelbagai latar belakang.
Comments