top of page
nabalunews

Projek tebatan banjir Sungai Tawau, Tempasuk dan Telipok siap


8 Disember 2024


KOTA KINABALU : Tiga Projek Tebatan Banjir dan masing-masing satu Projek Pemuliharaan Muara, Projek Mencegah Hakisan Pantai dan Projek Menaik Taraf Rumah Pam kini telah siap di Sabah melibatkan kos RM65.5 juta.


Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata tiga projek tebatan banjir itu yang dilaksanakan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), membabitkan kawasan seluas 1,403 hektar dan dapat mengurangkan masalah banjir yang dihadapi kira-kira 20,000 penduduk di Tawau, Kota Belud dan Kota Kinabalu.


Enam projek Persekutuan yang sudah siap itu diserahkan kepada kerajaan negeri Sabah pada Sabtu.


Katanya, tiga projek tebatan banjir yang telah siap itu ialah Rancangan Tebatan Banjir Fasa 1A Sungai Tawau di Lembangan Sungai Tawau di Tawau; Rancangan Tebatan Banjir Sungai Kadamaian, Sungai Tempasuk, Sungai Abai dan Sungai Kawang-Kawang, Kota Belud serta Rancangan Tebatan Banjir Bandar Sierra, Lembangan Sungai Telipok, Kota Kinabalu.


“Dengan pelaksanaan dan penyiapan tiga projek tebatan banjir ini, seluas 1,403 hektar kawasan banjir dapat dikurangkan dan seramai 20,000 penduduk mendapat manfaat serta dilindungi daripada risiko banjir,” katanya seperti dilaporkan Bernama.


Selain tiga Projek Tebatan Banjir itu,

projek seterusnya yang diserahkan Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri adalah Projek Pemuliharaan Sungai Tuaran di Kampung Tompinahaton, Kiulu; Projek Pemuliharaan Hakisan Pantai Pelbagai Negeri: Kerja Mencegah Hakisan Pantai di Sungai Mentadak Baru, Pulau Sebatik, Tawau; dan Kerja-Kerja Menaik Taraf Rumah Pam Likas, kata Fadillah.


Fadillah berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan projek itu bagi pihak Kerajaan Persekutuan kepada Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor bagi pihak kerajaan Sabah.


“Pelaksanaan Projek Pemuliharaan Sungai Tuaran di Kampung Tompinahaton, Kiulu berjaya mencegah daripada risiko bencana runtuhan tebing sungai seterusnya memberi perlindungan kepada harta benda awam termasuk balai raya, kawasan perkuburan dan 300 kediaman penduduk.


“Manakala Projek Mencegah Hakisan Pantai di Kampung Mentadak Baru, Pulau Sebatik berjaya memberi perlindungan kepada hampir 1,000 penduduk serta kemudahan awam seperti klinik kesihatan, balai polis dan jeti daripada hakisan akibat dipukul ombak.


"Projek yang direka bentuk secara in house design oleh JPS ini dijangka turut membantu menjana industri pelancongan agar berkembang dan seterusnya boleh membantu meningkatkan sumber ekonomi penduduk di kawasan tersebut,” katanya.


Beliau berkata Projek Pembinaan Menaik Taraf Rumah Pam Likas pula dapat mengurangkan impak banjir di kawasan sekitar melalui peningkatan kecekapan kawalan banjir dengan tahap kesiapsiagaan operasi selama 24 jam dan tujuh hari seminggu.


Fadillah berkata dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12), kerajaan Persekutuan menerusi PETRA telah meluluskan 82 projek dengan kos keseluruhan berjumlah RM8.5 bilion untuk Sabah yang jumlah peruntukan semasa di bawah Pelan Pusingan Keempat pada 2024 adalah RM674 juta.


“Selain itu, JPS Sabah telah diperuntukkan RM116.77 juta untuk pelaksanaan 27 projek dalam Pelan Pusingan Kelima untuk tahun depan demi kesejahteraan dan peningkatan sosioekonomi rakyat Sabah,” katanya.

Comments


bottom of page