top of page
  • Wartawan Nabalu News

PRU15: Kita reset Penampang dahulu sebelum reset Sabah - Ewon


Ewon ketika ditemui pemberita pada program bersama rakyat Penampang.

8 November 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: Calon Pakatan Harapan bagi kerusi Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick berkata, sebelum ‘reset’ Sabah, kawasan Penampang perlu ‘reset’ terlebih dahulu dengan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat di sini.


Ewon berkata, banyak aduan dan permasalahan yang dihadapi rakyat Penampang yang memerlukan sokongan penyelesaian daripada wakil rakyat.


“Pada hari ini, saya telah mengadakan pertemuan dengan penduduk Penampang khususnya para peniaga dan pemilik kedai di kawasan Penampang Baru, Towering dan Foodcourt Jia Hua Bundusan.



“Antara aduan yang saya terima ialah berkaitan kelewatan urusan pemilikan lesen. Apabila mereka memohon atau memperbaharui lesen, ia mengambil masa yang lama.


“Selain itu kemudahan di kawasan perkadaran, kawasan kedai seperti masalah parti, longkang dan lampu jalan juga banyak diadukan kepada saya.


“Pada saya, ini memerlukan kepimpinan yang agresif. Wakil rakyat Penampang perlu turun padang bertemu rakyat dari pelbagai golongan termasuk peniaga, pemilik kedai dan penduduk kampung bagi mendengar sendiri permasalahan mereka dan merumuskan penyelesaian terbaik,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program bertemu rakyat di Food Court Jia Hua, di sini, hari ini.



Ewon berkata, ‘reset’ Sabah seperti yang dilaung-laungkan parti lawan perlu dilaksanakan di kawasan Penampang terlebih dahulu.


“Kalau kita reset Sabah, kita perlu reset Penampang dahulu, dari segi kualiti perkhidmatan awam, kualiti pejabat kerajaan dan kualiti kepimpinan wakil rakyat Penampang. Ini yang saya maksudkan reset Penampang sebelum bercakap perlunya reset Sabah,” katanya.


Sehubungan itu beliau berharap, para pengundi khususnya Penampang dapat membuat keputusan terbaik pada hari pengundian dengan mengundi Pakatan Harapan.


“Saya sudah bersedia untuk menjadi calon terbaik untuk rakyat Penampang,” katanya.


Mengenai sokongan rakyat, bakal Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) itu berkata, sokongan rakyat Penampang semakin bertambah kukuh.


“Saya mendapati mereka memberikan respond sangat positif dan pada masa yang sama mereka juga mengadu pelbagai masalah yang selama ini tidak dapat dikemukakan kepada wakil rakyat kerana tidak dapat berjumpa dengan mereka.


“Contohnya ketika banjir, penduduk mengadu tidak melihat wakil rakyat ke rumah mereka. Saya mengambil aduan ini secara positif sebagai amaran supaya apabila saya menjadi wakil rakyat Penampang, saya mesti turun padang dan pada masa yang sama tidak mengabaikan tanggungjawab sebagai Adun Kadamaian,” katanya.


Mengenai pembahagian masa sebagai Adun Kadamaian dan Ahli Parlimen Penampang, Ewon berkata: “Dari sudut tanggungjawab sebagai seorang anak, Kadamaian adalah tempat ibu saya dan Penampang adalah kampung bapa saya. Sebagai anak, saya ingin memberikan perkhimdatan terbaik untuk kedua-dua ibu bapa saya”.


“Saya telah melakukan yang terbaik untuk daerah dan kampung ibu saya, kini tiba masanya saya memberikan perkhidmatan terbaik untuk daerah bapa saya, kerana saya ada political will untuk melaksanakan apa yang saya lakukan di Kadamaian sebelum ini.


“Saya pasti dengan sokongan rakyat Penampang dan kerjasama pasukan jentera Pakatan Harapan serta penjelasan dasar-dasar parti, positif rakyat Penampang akan terus meningkat sehingga hari mengundi,” katanya.


Ewon berharap rakyat Parlimen Penampang dapat memberikan peluang kepadanya membuktikan kepimpinan dan perkhidmatan terbaik di sini sebagai ahli parlimen.



Comments


bottom of page