top of page
Wartawan Nabalu News

PRU15: Menang dan laksana Tawaran PH, bukan menang baru runding


Madius ketika berucap pada majlis itu.

2 November 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Rakyat Sabah harus memberikan sokongan dan undi calon-calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi membolehkan gabungan itu membentuk kerajaan persekutuan seterusnya melaksanakan Tawaran Harapan untuk rakyat.


Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Wilfred Madius Tangau berkata, antara Tawaran Harapan ialah memperkasa Wilayah Sabah dan Sarawak.


"Tawaran ini sangat penting, inilah yang kita tawarkan dan persembahkan kepada rakyat, dan kenapa rakyat harus mengundi kita pada PRU15.


"Bagi pihak rakan pimpinan PH Sabah dan Sarawak, saya merakamkan setinggi terima kasih kepada pimpinan utama Pakatan Harapan dan jawatankuasa yang telah mempertimbangkan pelbagai cadangan dan memuatkannya dalam Tawaran ini.


"Terutama sekali nombor lapan "Perkasa Wilayah Sabah dan Sarawak". Khususnya untuk merapatkan jurang pembangunan antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak.


"Apa yang kita tawarkan di sana adalah satu tawaran yang menang kita, kita laksanakan tidak perlu runding lagi. Ini yang sangat penting. Inilah tawaran kita kepada rakyat Sabah dan Sarawak yang kita telah persetujui dan pimpinan telah mempersetujui.


"Undi kita (PH), kita menang, kita laksanakan, tidak perlu runding lagi,” katanya ketika berucap pada majlis Pelancaran Tawaran Harapan, di sini, hari ini


Madius (duduk dua dari kanan) bersama para pemimpin Pakatan Harapan pada majlis itu.

Sehubungan itu Madius yang juga Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan menyeru para pengundi supaya memberikan sokongan padu kepada semua calon PH bagi merealisasikan Tawaran Harapan.


Dalam Tawaran nombor 8, Perkasa Wilayah Sabah dan Sarawak menyatakan, pelaksanaan penuh Perjanjian Malaysia 1963 dan IGC, adalah pemangkin kepada kesejahteraan dan kemakmuran bagi wilayah Sabah dan Sarawak dalam usaha kita terus membangun sebagai sebuah negara.


Isu pemulangan hasil, pembangunan ekonomi, serta 35 peratus kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak akan diberi keutamaan oleh Harapan dalam semangat “Bersekutu Bertambah Mutu".


Selain itu, Tawaran-Tawaran lain ialah menangani kos sara hidup, memerangi rasuah, memperkasa peluang ekonomi belia, menjamin kebajikan penjawat kesihatan, menghapuskan isu ketidaksamaan gender, memperkasa sosio ekonomi wanita dan meningkatkan daya saing rakyat Malaysia.



Comments


bottom of page