top of page

PRU15: Rakyat wajar beri mandat besar kepada PH

  • Wartawan Nabalu News
  • Oct 21, 2022
  • 2 min read

(Dari kiri ke kanan) Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook; Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Madius.

21 Oktober 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


IPOH: Rakyat negara ini wajar memberikan mandat besar kepada Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi membetulkan keadaan membebankan rakyat khususnya krisis kos sara hidup.


Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, berkata bukan itu sahaja tetapi negara ini juga dilanda krisis ekonomi dan kepimpinan.


“Negara kita berada dalam krisis, negara kita dilanda krisis kepimpinana, akibat daripada kirsis ini, kita juga dilanda krisis kos sara hidup, ekonomi dan kewangan yang belum pernah kita alami sebelum ini.


“Kos sara hidup rakyat Sabah lagi teruk berbanding di Semenanjung Malaysia, sebab itu negara kita memerlukan pemulihan iaitu sebuah kerajaan baharu,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Harapan 2022, di sini, semalam.


Sehubungan itu Madius berkata, parti-parti komponen PH bersetuju mengangkat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri Malaysia dalam PRU15.


“Beliau (Anwar) seorang pemimpin yang berpengalaman tetapi belum lagi diberi peluang untuk memimpin negara.


“Bagi kami daripada Sabah, kami memang tertunggu-tunggu seorang pemimpin yang bukan sahaja memahami pelbagai kepayahan dan kesulitan yang dihadapi oleh rakyat Wilayah Borneo tetapi pemimpin yang benar-benar mahu bertindak.


“Kalau kita cerita pembentukan Malaysia tahun 1963 dan kerajaan-kerajaan yang lalu, ia setakat menubuhkan jawatankuasa untuk mengkaji pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).


“Tetapi PH di bawah kepimpinan Anwar Ibrahim ketika ini , rakyat Sabah dan Sarawak mahu melihat tindakan pelaksanaan termasuk hak-hak Sabah. Kita berharap apa yang terkandung dalam MA63 yang tidak dilaksanakan, dapat dilaksanakan selepas ini,” katanya.


Madius berkata, selain kaya dengan sumber-sumber asli, Sabah juga kaya dengan parti politik.


“Begitu banyak parti politik yang mendakwa dirinya sebagai gabungan parti politik tempatan tapi masih bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) … ini juga mengakibatkan krisis,” katanya.


Beliau berharap dengan kepimpinan PH, kemelut krisis politik di Sabah dan seluruh negara ini akan berakhir.


“Dengan kerja keras dan keyakinan kita, dalam masa satu bulan ini, tanggal 19 November nanti dengan izin Tuhan kita dapat mengangkat Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri yang baharu,” katanya dan menambah PRU15 amat penting untuk membina semula negara yang lebih baik di bawah kepimpinan Perdana Menteri yang baharu.


Turut hadir Naib Presiden UPKO Datuk Ewon Benedick dan para pemimpin PH Sabah.


Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page