top of page
  • Wartawan Nabalu News

PUNCA KEMATIAN 34 EKOR BABI HUTAN DI KINABATANGAN, PAITAN, SUGUD MASIH DISIASAT


Punca kematian babi hutan masih dalam siasatan.

4 Feb 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Jabatan Hidupan Liar masih dalam proses menyiasat untuk mengenalpasti punca kematian 34 ekor babi hutan di Kinabatangan, Sugud dan Paitan.


Pengarah Jabatan Hidupan Liar Augustine Tuuga berkata, pihaknya menerima laporan secara berperingkat di mana 29 ekor babi ditemui mati di Kinabatangan dan lima ekor lagi ditemui di Sugud dan Paitan dari 28 Januari sehingga 04 Februari (hari ini).


Beliau berkata, pemantauan masih dijalankan bagi melihat keadaan sekiranya terdapat kes kematian baharu.


"Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Jabatan Hidupan Liar telah melancarkan usaha mengenalpasti punca kematian babi hutan berkenaan.


"Sehubungan itu orang awam dinasihatkan supaya tidak membeli daging haiwan buruan seperti babi hutan atau hidupan liar lain buat sementara waktu sehingga punca kematian ini dapat dikenalpasti sepenuhnya," katanya dalam kenyataan akhbar, di sini, hari ini.


Jabatan Hidupan Liar mengeluarkan kenyataan ini berikutan penemuan bangkai babi hutan yang ditemui mati dalam hutan di Kinabatangan, Sugut dan Paitan.


Babi hutan ditemui mati.

Berita mengenai kematian banyak babi hutan ini juga turut tular di Whatsapp dan media sosial lain.


Augustine berkata, dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Jabatan Hidupan Liar tidak mengeluarkan apa-apa lesen memburu.


"Jabatan Hidupan Liar juga menasihatkan orang awam agar tidak melakukan pemburuan haram kerana ia bukan sahaja menyalahi undang-undang tetapi juga akan mengundang bahaya kepada keluarga sekiranya terdapat jangkitan penyakit hidupan liar yang telah menyebabkan kematian babi hutan berkenaan," katanya.


Orang awam diminta untuk tidak mendekati bangkai yang ditemui mati dan segera menghubungi jabatan di talian 012-8019289.

Kommentare


bottom of page