Pusat Maklumat Rakyat jadi pusat sehenti akses perkhidmatan atas talian
21 Jun 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Rakyat Sabah kini boleh mengakses pelbagai perkhidmatan atas talian yang ditawarkan oleh jabatan persekutuan melalui Pusat Maklumat Rakyat (PMR) yang terdapat di seluruh negeri.
Ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memudahkan rakyat, terutama mereka yang tidak mempunyai peranti atau komputer di rumah, untuk mendapatkan perkhidmatan yang diperlukan dengan cepat dan mudah.
Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Makhzan Mahyuddin, berkata PMR di bawah Jabatan Penerangan akan menjadi pusat sehenti yang menyediakan 25 terminal komputer untuk rakyat menggunakan perkhidmatan atas talian.
"Antara perkhidmatan atas talian yang boleh diakses adalah E-Pas Lawatan Kerja Sementara (e-PLKS), MyOnline Passport, mySIKAP, semakan permohonan kad pengenalan dan semakan permohonan kewarganegaraan," katanya.
Beliau berkata demikian ini semasa merasmikan Bengkel Familiarisasi Perkhidmatan Atas Talian Di Bawah Kluster Pendigitalan Dan Inovasi di sini, pada Selasa.
Jelas beliau, ini akan memberikan manfaat kepada rakyat dari segi penjimatan kos, masa dan tenaga, serta meningkatkan kecekapan dan ketelusan perkhidmatan awam.
Beliau berkata bengkel tersebut bertujuan untuk memberi latihan dan pendedahan kepada pegawai-pegawai PMR mengenai perkhidmatan atas talian yang ditawarkan oleh tiga jabatan persekutuan iaitu Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Diharap usaha bersepadu ini akan menjadikan PMR sebagai agen mempromosi perkhidmatan atas talian dan ia akan terus diperkasa bagi memberikan kemudahan kepada rakyat Sabah khususnya,” katanya.
Comments