PUSPAKOM SANDAKAN DITUTUP AKIBAT PENULARAN COVID-19
- nabalunews
- Nov 28, 2020
- 1 min read

28 NOV 2020
KOTA KINABALU: Puspakom Sdn Bhd (Puspakom) Cawangan Sandakan akan ditutup bermula Isnin ini (30 Nov) sehingga ke satu tarikh yang akan diberitahu kelak berikutan seorang kakitangannya disahkan positif COVID-19.
Puspakom dalam satu kenyataan memaklumkan kakitangan berkenaan kini sedang menjalani rawatan di sebuah hospital, manakala kesemua kakitangan lain akan disaring, selain proses pengesanan kontak rapat akan dilaksanakan.
“Mereka yang berhubung secara langsung dengan pesakit tersebut telah diarahkan menjalani kuarantin selama 14 hari," menurut kenyataan berkenaan.
Puspakom memberitahu pihaknya akan mendapatkan nasihat daripada Jabatan Pengangkutan Jalan berkaitan kelonggaran pembaharuan permit untuk kenderaan yang tamat tarikh pemeriksaan dalam tempoh cawangan berkenaan ditutup.
“Bagi pelanggan yang mempunyai janji temu di Puspakom Sandakan, semua bayaran janji temu pemeriksaan yang telah dibuat akan dipulangkan secara automatik. Sebarang maklumat terkini akan dimaklumkan kepada pelanggan dari semasa ke semasa,” menurut Puspakom.
Dalam perkembangan sama, Puspakom Kota Kinabalu yang sebelum ini ditutup seminggu susulan pandemik itu, telah beroperasi semula sejak Jumaat. - Bernama
Comments