RAKYAT MAHU KERAJAAN CARI ALTERNATIF LAIN, MANSUHKAN KOMPAUN RM10,000

18 Mac 2021
Oleh Marryan Razan
KOTA KINABALU: Rakyat mahu kerajaan mencari alternatif lain dan memansuhkan kompaun RM10,000 bagi kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) dalam usaha mengawal penularan Covid-19 di negara ini kerana ia satu jumlah yang amat membebankan.
Selain itu kebanyakan mereka yang ditemui Nabalu News berpendapat bahawa adalah lebih baik sekiranya kerajaan mengambil tindakan bersifat mendidik termasuk memberikan amaran untuk kesalahan pertama dan bukan ‘menghukum’ dikala rakyat negara ini dihimpit masalah kewangan akibat pandemik Covid-19.
Ini kerana menurut mereka, rakyat Malaysia masih lagi dalam fasa “membiasakan diri” dengan norma kehidupan baharu, sebab itu kemungkinan ada yang terlupa memakai pelitup muka atau scan mysejahtera.
Klaire Francis berpendapat adalah tidak adil mengenakan kompaun sehingga RM10,000 kepada mereka yang melanggar SOP kerana masih ada cara lain yang boleh digunakan selain kompaun.
“Sebagai rakyat biasa, saya tahu, kompaun ini adalah antara alternatif terbaik mereka (kerajaan) untuk memastikan orang ramai mematuhi peraturan tetapi ini (kompaun) terlalu tinggi.
"Walaupun ada diskun tetapi ia masih mahal ... Oleh itu saya berharap kerajaan dapat memahami masalah rakyat ketika ini yang kebanyakannya berhadapan masalah ekonomi dan tidak menambah bebanan rakyat.
"Bagi pendapat saya, kita boleh memberikan teguran secara baik atau amaran untuk kesalahan pertama, kesalahan kedua dan seterusnya barulah dikenakan kompaun.
"Dalam hidup kita tidak boleh menghukum seseorang dengan menggunakan duit semata-mata, masih ada cara lain yang boleh digunakan untuk menghukum mereka, misalnya menghukum mereka dengan membuat kerja amal," katanya.
Seorang peniaga di Kota Kinabalu Charnes Carlie berkata, "Saya melihat kerajaan berdolak dalih dalam hal ini".
"Pada mulanya, kerajaan kata kompaun RM10,000 tidak boleh dirayu, tetapi selepas dikritik oleh pelbagai pihak, kini kerajaan kata boleh dirayu dan ada pula kenyataan terbaharu, ada diskaun 50 peratus.
"Semua ini menunjukkan kerajaan menguatkuasakan undang-undang itu secara terburu-buru tanpa mendengar keluhan rakyat," katanya dan menambah kompaun RM10,000 adalah terlalu tinggi.
Sementara itu seorang pekerja swasta, Jose Marvin berkata, kerajaan sepatutnya menyediakan garis panduan yang jelas dan menelitinya sebelum melaksanakan sesuatu peraturan.
"Saya melihat, kompaun RM10,000 bagi mereka yang melanggar SOP COVID-19 telah menimbulkan kritikan rakyat Malaysia.
"Selepas dikritik, barulah mereka (kerajaan) keluarkan garis panduan dan menyatakan RM10,000 adalah denda maksimum dan ia boleh dirayu serta boleh diberikan diskaun sekiranya membayar dalam tempoh tertentu.
"Saya berharap, kerajaan dapat menyediakan garis panduan jelas dan difahami semua lapisan masyarakat dan tidak diubah sesuka hati selepas ini," kata Jose.
Beliau bersetuju kerajaan mengenakan kompaun atau denda kepada individu yang tidak mematuhi SOP sebagai tindakan tegas pencegahan penularan Covid-19 di negara ini.
"Tetapi hukuman dan denda yang berkuatkuasa ketika ini sangat tinggi dan membebankan rakyat," katanya.
Seorang pekerja swasta, Jack Andrew berpendapat adalah lebih baik kerajaan mengekalkan kompaun RM1,000 bagi mereka yang melanggar SOP Covid-19.
"Baru-baru ini ada kenyataan, pesalah boleh membuat rayuan tetapi ia agak menyusahkan sebab mau isi borang dan bagi dokumen sokongan lagi.
"Saya pasti apa yang kerajaan cuba buat adalah untuk kebaikan rakyat Malaysia supaya dapat mengurangkan penularan Covid-19, tapi saya berharap kalau beri kompaun ... kena bertimbang rasa sedikit.
"Kadang-kadang ada situasi yang kita susah mau kawal SOP seperti berada di restoran di mana memerlukan kita membuka pelitup muka dan apa-apa pun bagi saya semua orang memainkan peranan dalam pematuhan SOP.
"Jadi kena pandai jaga orang sekeliling termasuk VIP (menteri-menteri) agar tiada double standard.
"Saya berharap agar kerajaan lebih bertimbang rasa mengurangkan jumlah kompaun dan memansuhkan kompaun RM10,000 memandangkan rakyat pun terjejas teruk, bukan kasih tambah bebanan rakyat," katanya.
Sambil mengambil contoh negara Taiwan, Singapuran dan New Zealand, Jack berkata tanpa mengenakan kompaun yang tinggi pun, negara-negara berkenaan berjaya menangani pandemik Covid-19 dengan baik.
Berkuatkuasa 11 Mac lalu, kompaun sehingga RM10,000 boleh dikenakan kepada individu yang melanggar SOP ditetapkan bagi pencegahan dan kawalan Covid-19.
Baru-baru ini, kerajaan menetapkan tiga kategori kesalahan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) berhubung Garis Panduan Penetapan dan Pengurangan Nilai Kompaun.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dipetik sebagai berkata tiga kategori kesalahan itu ialah tinggi, sederhana dan normal.
Comments