top of page

Rakyat Malaysia dikenal pasti sebagai tentera upahan di Ukraine cedera dalam serangan dron

nabalunews

5 November 2024


KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia yang terlibat dalam konflik sebagai tentera upahan untuk Ukraine telah dikenal pasti sebagai Lee Bing Hang, 20, disahkan masih hidup dan berada dalam keadaan selamat walaupun mengalami kecederaan.


Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, mengesahkan bahawa Lee mengalami kecederaan di buku lali akibat terkena serpihan dron Rusia namun telah selesai menjalani rawatan.


Menurut Razarudin, siasatan mendapati Lee berjaya melarikan diri semasa serangan itu namun tercicir MyKad dan lesen memandunya, manakala pasportnya masih berada bersamanya.


Tawaran gaji menarik hingga AS$2,700 sebulan (RM11,807) serta minat dalam bidang ketenteraan dipercayai menjadi faktor utama Lee menyertai perang Ukraine-Rusia sebagai tentera upahan.


“Selain itu, tekanan keluarga dipercayai menyebabkan beliau sanggup menjauhkan diri kerana Lee dibesarkan oleh ibunya di Perlis selepas berpisah dengan bapanya sejak kecil,” katanya ketika dihubungi Bernama.


Difahamkan, dia telah menjadi tentera upahan di Ukraine sejak April 2024 selepas membuat permohonan melalui laman web ketenteraan Ukraine, dan setakat ini merupakan satu-satunya rakyat Malaysia yang berbuat demikian.


Sebelum menyertai konflik tersebut, Lee menamatkan pendidikan A-level di sebuah kolej swasta di Petaling Jaya dan melanjutkan pengajian di peringkat ijazah di Subang Jaya sebelum berhenti awal tahun ini.


Pada Mac lalu, beliau dipercayai pergi ke United Kingdom untuk mencari peluang pekerjaan sebelum akhirnya menyertai perang Ukraine-Rusia.


Kisah Lee menarik perhatian setelah beberapa gambar yang menunjukkan MyKad dan lesen memandu miliknya tersebar, dipercayai ditemui di medan pertempuran antara Ukraine dan Rusia di Levadne, Zaporizhia.

Komentar


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page