RAKYAT PERTIKAI SOP: KUMPIT DIBENAR KELUAR MASUK SABAH, RAKYAT TIDAK BOLEH RENTAS DAERAH
3 Mac 2021
Oleh Marryan Razan
KOTA KINABALU: Keputusan kerajaan negeri tidak membenarkan pergerakan rentas daerah tapi membenarkan kapal-kapal dari Filipina dan Indonesia masuk perairan Esszone untuk aktiviti ‘barter trade’ mengundang pelbagai reaksi rakyat Sabah.
Rata-rata mereka yang dihubungi Wartawan Nabalu News berpendapat keputusan kerajaan itu memang tepat bagi memastikan tiada penularan Covid-19 atau cluster baharu dari daerah-daerah lain terutama dari zon merah ke zoh hijau.
Bagaimanapun tidak kurang juga yang tidak berpuas hati dan berpendapat kerajaan sepatutnya membenarkan rentas daerah di seluruh Sabah memandangkan kes harian kini menurun di bawah 100 kes (kelmarin).
Mereka turut mempersoalkan keputusan kerajaan membenarkan kapal-kapal Non-Convention Ship (NCS)/ Kumpit Indonesia dan Filipina memasuki perairan Esszone dan semua kapal NCS Malaysia dari perairan Esszone ke Filipina dan Indoensia bagi tujuan aktiviti ‘barter trade’ dan ‘transhipment’ bermula 5 Mac ini tetapi rakyat tidak dibenar rentas daerah.
Seorang pekerja swasta Addiq George, 43, dari Ranau tetapi bekerja di Kota Kinabalu berkata, tindakan itu tidak adil bagi penduduk Sabah kerana semua negeri lain kini dibenakan rentas daerah kecuali Sabah.
“Memang tidak adil kepada penduduk Sabah tidak dibenarkan merentas daerah sedangkan kapal kumpit dari Filipina dan Indonesia dibenarkan keluar masuk wilayah Sabah.
“Kalau alasan susah untuk dikawal disebabkan daerah-daerah di Sabah besar atau luas sama juga dengan negeri-negeri lain di Semenanjung dan Sarawak yang mempunyai kawasan luas tapi pergerakan rentas daerah dibenarkan. Begitu juga dengan kapal kumpit dibenarkan rentas sempadan tapi rakyat tidak dibenarkan rentas daerah.
“Oleh itu saya berharap kerajaan dapat mempertimbangkan semula untuk membenarkan rakyat Sabah membuat pergerakan rentas daerah,” katanya.
Sementara itu Allvin Yedo, 26 dari Tamparuli berkata, dia tidak bersetuju rentas daerah di Sabah masih tidak dibenarkan kerana ia menyukarkan pergerakan terutamanya urusan perniagaan kecil-kecilan dengan rakan-rakan di daerah lain.
“Mungkin boleh minta kebenaran dengan pihak polis sekiranya ada keperluan tapi itu sangat leceh dan menyukarkan tambahan pula, pengangkutan awam rentas daerah juga masih terhad.
“Kenapa Sabah sahaja tidak boleh rentas daerah sedangkan negeri-negeri lain dibenarkan rentas daerah? Ini betul-betul tidak adil dan menyusahkan rakyat Sabah,” katanya.
Bonny Chong dari Keningau tetapi kini bekerja di Kota Kinabalu berkata, dia juga tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan itu.
“Seperti yang kita lihat laporan harian kes Covid-19 di Sabah, menunjukkan penurunan secara drastik di mana ia mencatatkan 53 kes kelmarin.
“Bagi pendapat saya dengan penurunan di bawah 100 kes sehari, pergerakan rentas daerah sepatutnya boleh dipertimbangkan. Sekiranya rentas daerah tidak dibenarkan, banyak sektor seperti pelancongan di Sabah akan terus mengalami kerugian serta kemorosotan ekonomi.
“Kalau dibandingkan dengan Sarawak, negeri itu lagi besar dari Sabah. Ini bermakna, risiko pun ada (rentas daerah), tetapi kenapa semua negeri di Malaysia dibenarkan rentas daerah kecuali Sabah?
“Kalau disebabkan Kluster Nabawan, maka rentas daerah tidak dibenarkan, ia memang tidak adil sebab, Nabawan kini dalam PKPD,” katanya.
Seorang peniaga, Joannes Sham, 41, dari Beluaran berkata, dia amat hairan kenapa semua negeri dibenarkan rentas daerah bermula Jumaat ini tetapi Sabah tidak dibenarkan.
“Lagi menghairankan, kerajaan negeri membenarkan kapal-kapal kumpit dari Filipina dan Indonesia memasuki perairan Sabah bermula 5 Mac ini.
“Sekiranya alasan membenarkan kapal kumpit memasuki perairan Sabah kerana aktiviti ‘barter trade’ merupakan salah satu aktiviti yang menyumbang kepada ekonomi negeri ini, peniaga kecil-kecilan seperti kami pun sama juga, kami mahu rentas daerah untuk berurusan dengan rakan niaga dan berniaga di daerah lain,” katanya.
Katanya lagi, peniaga kecil-kecilan amat terkesan dengan pandemik Covid-19, perintah kawalan pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan kini ditambah dengan halangan rentas daerah yang masih berkuatkuasa di Sabah sahaja.
“Kami perlu merentas daerah untuk menjual barang-barang jualan kami dan berurusan dengan rakan niaga lain,” katanya.
Bagi Beatrice Jones, 24, dari Tamparuli, keputusan kerajaan tidak membenarkan rentas daerah buat sementara waktu dapat mengelak jangkitan atau kluster baharu.
“Sabah adalah sebuah negeri yang unik di mana ramai pendatang tidak berdokumen berada di negeri ini dan sudah tentu pengesanan kontak bukan mudah,” katanya.
Katanya lagi, apa yang berlaku di Nabawan harus menjadi satu pengajaran kepada seluruh rakyat Sabah di mana orang luar yang masuk daerah lain terutama yang bergejala boleh mengakibatkan berlaku kluster baharu di daerah berkenaan.
“Sebelum ini daerah Nabawan mencatatkan sifar kes tetapi kini kes positif Covid di daerah itu melebihi 100 dan dikenakan PKPD akibat kelalaian rakyat.
“Bagaimana pun jika keadaan bertambah baik, pihak MKN negeri bolehlah menimbang untuk membenarkan rentas daerah seperti di negeri-negeri lain di Malaysia.
“Biarkan pihak berkuasa negeri menimbang semua faktor sebelum membenarkan semula pergerakan rentas daerah. Bagi pendapat saya pencegahan lebih baik daripada mengubati,” katanya.
Begitu juga dengan Shafinaz, 25, dari Tenom, katanya, dia bersetuju dengan keputusan kerajaan tidak membenarkan rentas daerah bagi Sabah walaupun kes kini menurun di bawah 100 bagi memastikan tiada kes jangkitan baharu atau kluster baharu khususnya dari zon merah ke kawasan zon hijau.
“Seperti yang kita tahu, masih ada kes jangkitan baharu dilaporkan setiap hari dan kebanyakan daerah di Sabah juga masih dalam zon merah.
“Apa yang saya dengar, kerajaan membuat keputusan untuk tidak membenarkan rentas daerah di negeri ini kerana mereka mahu Sabah benar-benar bebas dari Covid-19 iaitu mencatatkan sifar kes.
“Mungkin alasan ini ada baiknya tetapi bagi mereka yang ingin merentas daerah kerana tujuan mendesak termasuk urusan perniagaan ia memang tidak adil,” katanya.
Mengenai kebenaran kapal kumpit dari Indonesia dan Filipina memasuki perairan Esszone bagi aktiviti barter trade dan transhipment bermula 5 Mac, beliau berpendapat, kerajaan telah menetapkan SOP yang ketat antaranya semua kru kapal bebas daripada jangkitan Covid-19 dan mereka juga tidak dibenarkan turun ke daratan sebab proses pemunggahan dilakukan oleh syarikat tempatan.
“Dengan adanya SOP itu akan mengelak penularan Covid-19,” katanya.
Dalam laporan media kelmarin, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dipetik sebagai berkata kerajaan bersetuju membenarkan pergerakan rentas daerah di seluruh negara kecuali Sabah mulai 5 Mac ini.
Kerajaan negeri Sabah memohon supaya sekatan daerah di negeri itu dikekalkan untuk tempoh dua minggu.
תגובות