• Wartawan Nabalu News

RAKYAT SUDAH TIDAK BOLEH BERSABAR: MUDA


Gambar Hiasan

15 Julai 2021


KUALA LUMUR: Jawatankuasa Eksekutif Pusat Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) menyatakan, kenyataan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin minta rakyat bersabar langsung tidak munasabah.


Menurut kenyataan MUDA, ini kerana kes jangkitan baharu Covid-19 hari ini mencatatkan angka paling tinggi sejak pandemik bermula iaitu sebanyak 13,215 kes.


"Dalam seminggu yang berlalu sahaja, Malaysia mencatatkan siri jumlah kes tertinggi 9,353 (10 Julai), 11,079 (13 Julai), dan 11,618 (14 Julai).


"Kadar kebolehjangkitan (Rt) kekal melebihi paras 1.0 dan semalam (14 Julai) mencatat angka paling tinggi, 1.19. Kes Covid-19 sudah luar kawalan," kata kenyataan itu, hari ini.


Menurut kenyataan itu lagi, doktor kontrak sehingga kini tidak diberi kata putus status mereka. Sebaliknya ada yang diancam dengan tindakan. Ramai yang keletihan dan kemurungan.


Selain itu katanya, ekonomi tidak menentu. Simpanan rakyat Malaysia semakin habis dengan keluaran EPF sebelum ini menghabiskan dana masa depan mereka. Moratorium yang diberikan masih dikenakan faedah. Bukan moratorium, tetapi hanya penstrukturan semula pinjaman.


"Disebabkan keadaan ekonomi dan kesihatan awam yang gawat, semakin ramai yang mengalami masalah mental. Dalam lima bulan pertama tahun 2021 sahaja, terdapat 468 kes pembunuhan diri.


"Ramai yang terkesan juga melibatkan remaja dan belia. Industri makanan dan minumam (F&B), perhotelan dan perlancongan, dan seni dan kreatif juga semakin kritikal.


"Ramai pekerja dan penggiat dalam sektor-sektor ini sudah tidak mampu bertahan dan tutup," katanya.


Menurut kenyataan itu, ahli-ahli Parlimen yang cuba untuk membantu rakyat susah, dibebankan dengan pelbagai halangan birokrasi.


"Mereka yang menyuarakan kesusahan rakyat diancam pihak berkuasa, termasuk aktivis, doktor, dan pelajar.


"Kehidupan dan masa depan rakyat semakin susah. Selagi kerajaan gagal ini tidak bertukar, bendera hitam dan putih, dan bukan biru, akan terus berkibaran. Protes di alam maya dan fizikal, juga hanya akan bertambah," kata kenyataan itu.