RANGKAIAN JALUR LEBAR SELURUH SABAH PERLU DIPERTINGKATKAN
- Wartawan Nabalu News
- Nov 21, 2020
- 1 min read

21 Nov 2020
Oleh Wartawan Nabalu News
TAMBUNAN: Pelaksanaan untuk meluaskan rangkaian jalur lebar (internet coverage) di seluruh Sabah diharap agar dapat dipercepatkan.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, berkata, perkara itu perlu kerana pembangunan sekarang bukan lagi setakat kepada infrastruktur seperti jalan raya, air dan eletrik semata-mata tetapi keperluan untuk liputan internet juga sangat penting.
"Ianya akan menunjukkan sama ada kawasan daerah atau kampung itu akan maju dengan cepat atau tidak, semuanya bergantung kepada ruang kewujudan liputan internet ini," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media ketika program Lawatan Kerja di Mini Estet Sejahtera (MESEJ) Kaingaran, dekat sini hari ini.
Hadir sama Setiausaha Tetap, Datuk Fredian Gan, Pegawai Daerah Tambunan, Jumain Abdul Ghani, Setiausaha Politik kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar, Jilias Lintar, Setiausaha Politik kepada Timbalan Ketua Menteri, Arlinsia Agang, Timbalan Pengurus Besar Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) Bahagian Skim, dan Pegawai Wilayah (Bahagian Skim), Rizal Rosman.
"Bukan sahaja untuk program MESEJ tetapi menyeluruh di seluruh negeri Sabah di mana liputan internet atau jalur lebar ada keperluan untuk dipertingkatkan dengan segera," katanya.
"Jadi, kita mengharapkan dalam masa-masa terdekat ini, aspek ini juga diberi perhatian yang penting dan dipercepatkan supaya jurang digital akan dirapatkan dan kalau boleh akan mendapat kesaksamaan di seluruh negara khususnya di luar bandar," katanya.
Dalam Lawatan Kerja tersebut, Jahid turut melawat ke kawasan kebun getah milik Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) yang diusahakan oleh para peserta program MESEJ tersebut.















Comments