Rapatkan jurang pembangunan Sabah dan Semenanjung
- nabalunews
- Aug 6, 2025
- 3 min read

6 Ogos 2025
SANDAKAN: Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir menyuarakan kebimbangan berkenaan jurang pembangunan antara Sabah dan Semenanjung yang masih jauh.
Pada sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) di Dewan Rakyat, Vivian menyeru agar kerajaan persekutuan mengambil tindakan segera dan berkesan di bawah RMK-13 bagi merapatkan jurang pembangunan antara wilayah ini.
Katanya, RMK-13 menekankan pembangunan inklusif, pertumbuhan berimpak tinggi dan kelestarian jangka panjang.
“Tetapi, jika semua ini tidak benar-benar dilaksanakan di Sabah, khususnya di kawasan Pantai Timur, ia hanya akan tinggal sebagai retorik semata-mata.
"Bagi rakyat Sabah, apa yang mereka ingin tahu adalah sangat mudah iaitu bilakah semua janji ini akan benar-benar sampai ke tanah kami di Pantai Timur?," katanya.
Dalam pada itu, Vivian turut menekankan tiga fokus utama dalam memacu pembangunan di Sabah antaranya memastikan pembangunan yang seimbang dan penambahbaikan segera terhadap infrastruktur asas.
Katanya, ia termasuk menjana pertumbuhan serantau melalui projek yang berimpak tinggi dan mampan serta menjamin pelaksanaan dasar dan perancangan yang benar-benar sampai ke peringkat pelaksanaan, dengan penekanan khusus kepada Sabah, terutamanya daerah Sandakan.
“Dalam konteks Sabah, rakyat Sabah juga telah lama terbiasa dengan ungkapan “mati karan, mati air, jalan bulan” bagi menggambarkan kesengsaraan hidup harian.
“Masalah asas ini bukan sahaja menjejaskan kualiti hidup, malah menjadi penghalang utama kepada pertumbuhan ekonomi negeri.
“Selagi tiga masalah asas ini belum diselesaikan, Sabah secara berterusan tidak akan mampu mengejar pembangunan setara dengan negeri lain,” katanya.
Sehubungan itu, Vivian menggesa agar kerajaan persekutuan bertindak dengan lebih cekap, termasuk memastikan peruntukan yang mencukupi, tindakan pantas, serta penetapan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang jelas untuk menilai kemajuan dasar.
Sementara itu, mengulas mengenai isu bekalan elektrik di Sabah, Vivian berkata, Sabah terutamanya kawasan Pantai Timur masih berdepan dengan masalah kekurangan bekalan elektrik yang sangat serius.
Katanya, projek Southern Link Grid Line dan sambungan Grid Sarawak-Sabah digesa agar disegerakan untuk mengatasi masalah yang telah sekian lama membelenggu kawasan tersebut.
“Rakyat di pedalaman juga berhak menikmati kehidupan yang terang benderang dan bukannya terus bergantung kepada janakuasa diesel yang mahal serta bising.
“Begitu juga dengan isu bekalan air, apabila kadar air tidak berhasil (Non-Revenue Water, NRW) di Sabah kini mencecah antara 50 peratus hingga 60 peratus yang berpunca daripada paip lama yang sering bocor dan rosak.
“Lebih membimbangkan, Sungai Segaliud yang selama ini menjadi sumber utama air bagi Sandakan, kini tidak lagi mencukupi menampung keperluan penduduk yang semakin bertambah.
“Kajian untuk sumber air alternatif hanya akan dimulakan pada tahun 2026, sedangkan masalah air masin yang masuk ke Loji Penapisan Air Segaliud telah berlaku seawal tahun 2022,” katanya.
Sementara itu, Vivibn turut menyifatkan kelewatan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo di Sabah sangat mengecewakan apabila projek yang bermula lebih 10 tahun lalu melibatkan 16 pakej Fasa 1A hanya empat sahaja yang siap sehingga kini.
“Pan Borneo adalah seperti nadi utama kepada ekonomi Sabah. Kita kini berada di saat genting dan sebarang kelewatan hanya akan menyebabkan kita terus ketinggalan.
“Saya memetik laporan The Edge Malaysia bertarikh 28 Julai yang melaporkan pembatalan kontrak bernilai RM1.07 bilion yang dianugerahkan kepada syarikat Ireka bagi kerja-kerja pembinaan Pan Borneo.
“Mengapa hampir semua projek masih ditender melalui Semenanjung walaupun pelaksanaannya di Sabah.
“Apabila dipersoalkan mengapa kontraktor Sabah tidak diberikan peluang, jawapan yang diberi ialah ‘Sabah tiada kontraktor yang setanding dengan Semenanjung.
“Tetapi, dalam masa yang sama, saya ingin bertanya, apa hasil yang telah ditunjukkan oleh kontraktor dari Semenanjung setakat ini,” tegasnya.
Vivian berkata, daripada terus bertolak ansur dengan sistem kontraktor ‘Ali Baba’ yang memenangi tender dan kemudian menyerahkannya kepada sub-kontraktor bertingkat-tingkat, lebih baik kerajaan memberi kuasa kepada kerajaan negeri untuk melaksanakan tender secara terus.
Katanya, ini sekaligus dapat memperkasa kontraktor tempatan yang benar-benar berkelayakan melaksanakan projek itu.















Comments