top of page

Rayner Ebi dipilih Ketua Pemuda UPKO Bahagian Tuaran yang baharu

Wartawan Nabalu News

Rayner (tiga dari kiri) dan Salbinous (dua kiri) bersama Pemuda UPKO Tuaran.

12 Julai 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


TUARAN: Mantan Ketua Pergerakan Komulakan Tuaran Rayner Ebi dipilih sebagai Ketua Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bahagian Tuaran bagi sesi 2022 – 2025.


Rayner menggantikan Charles Jauti yang tidak bertanding untuk mempertahankan jawatan itu pada pemilihan tahun ini.


Manakala Timbalan Ketua pula dimenangi oleh Salbinous Saribun menggantikan Ronnie Pollin dan Naib Ketua Pemuda Bahagian Tuaran ialah Amandus Juanis dan Faizal Derasik.



Rayner merakamkan ucapan terima kasih kepada semua perwakilan Pemuda yang memberi kepercayaan kepadanya untuk menerajui Pemuda Tuaran.


“Pemuda, Pergerakan Wanita dan Generasi Muda akan terus bekerjasama ‘seiring dan sejalan’ untuk melaksanakan apa sahaja program di kawasan ini bagi mengukuhkan parti seterusnya mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap parti ini.


“Program atau aktiviti yang kami rancang menjurus kepada memantapkan jentera dan mengukuhkan kekeluargaan ahli parti.


“Kita juga ingin melihat golongan Pemuda yang celik perlembagaan Malaysia dengan semangat patriotik yang kental disamping cintakan keharmonian kaum dan agama. Atas semangat itu, kami berusaha mewujudkan satu pasukan yang progresif dan inklusif di Tuaran,” katanya ketika ditemui Nabalu News, selepas Mesyuarat Agung Tritahunan Pemuda UPKO Bahagian Tuaran, di Kelab Tamparuli Sabah, hari ini.


Madius (tengah), Ewon (dua kiri), Fairuz Bandar (kiri), Salbinous (kanan) dan Jainysius (dua dari kanan).

Rayner berkata, UPKO sebagai sebuah parti yang kecil namun berjiwa besar sentiasa konsisten menyampaikan suara rakyat dengan berani.


“Malahan kita pernah berdemonstrasi dihadiri lebih 5,000 orang menentang penempatan Sri Tanjung ke Kg. Maang Penampang lebih sedekad lalu apabila suara rakyat tidak dipedulikan.


“Itulah sebabnya UPKO sering dilabel sebagai 'bersuara macam pembangkang' dan diperli keluar Barisan Nasional (BN) oleh rakan-rakan komponen dahulu,” katanya.


Mesyuarat serentak Pergerakan Pemuda, Wanita dan Generasi Muda UPKO Bahagian Tuaran itu dirasmikan oleh Naib Presiden UPKO merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick.


Turut hadir, Presiden UPKO Datuk Wilfred Madius Tangau.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page