top of page
  • Writer's pictureIlona Andrew

Remaja 12-17 tahun boleh ambil vaksin Sinovac


1 Oktober 2021

Oleh Ilona Andrew


KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah bersetuju memberi kelulusan bersyarat bagi penggunaan vaksin CoronaVac keluaran Sinovac Life Sciences Co. Ltd., China dan Pharmaniaga Lifesciences Sdn Bhd, Malaysia kepada golongan remaja berumur 12-17 tahun.


Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah persetujuan ini dicapai semasa Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-364, hari ini,


"Walau bagaimanapun, PBKD menyarankan agar penggunaan vaksin CoronaVac dalam kalangan remaja berusia 12 hingga 17 tahun buat masa ini diutamakan kepada remaja tanpa komorbiditi dan yang mempunyai masalah alahan atau tidak sesuai untuk menerima vaksin Cominarty (Pfizer).


"Penilaian bagi penggunaan CoronaVac dalam kalangan remaja dengan komorbiditi akan diteruskan sebaik sahaja data yang dikemukakan mencukupi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Menurut Noor Hisham, kelulusan pendaftaran bersyarat ini memerlukan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk vaksin tersebut dipantau dan dinilai berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa.


Tambahnya, ia bagi memastikan perbandingan manfaat-risiko (benefit over risk) bagi vaksin tersebut kekal positif.


"KKM juga sentiasa komited dalam mempertingkatkan akses kepada produk vaksin COVID-19 di Malaysia, dengan memastikan ia telah dinilai daripada aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan oleh NPRA dan diluluskan oleh PBKD."

bottom of page