Reunion SMK Narinang batch 85 2.0 bersama Felix Agus
![](https://static.wixstatic.com/media/d65831_601cb726321545efa30c3234c31420a6~mv2.jpg/v1/fill/w_980,h_551,al_c,q_85,usm_0.66_1.00_0.01,enc_auto/d65831_601cb726321545efa30c3234c31420a6~mv2.jpg)
25 Oktober 2024
KOTA BELUD: Reunion 2.0 bagi bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Narinang Kota Belud bagi tahun 1985, dijadualkan berlangsung pada 26 Oktober ini di Losok Kadamaian Chalet, Kota Belud.
Pengerusi penganjur, Albanius Sitimin, mengesahkan penganjuran majlis ini selepas menerima sumbangan sebanyak RM3,000 daripada Pejabat Perhubungan ADUN Kadamaian, sebagai sokongan kepada acara berkenaan.
Sumbangan disampaikan oleh Shainim Epin, wakil pejabat perhubungan ADUN Kadamaian yang mewakili Datuk Ewon Benedick, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian.
Albanius menzahirkan penghargaan atas sokongan berterusan daripada Datuk Ewon dalam merealisasikan penganjuran
acara tersebut.
Menurut beliau, pihak penganjur pada mulanya berhasrat menjemput Datuk Ewon sebagai perasmi majlis. Namun, mereka akur dengan kekangan masa yang dihadapi beliau, dan bersyukur kerana wakil dari pihak Datuk Ewon akan hadir bagi merasmikan majlis ini.
Majlis yang bertemakan "They Will Rock You" ini bakal menampilkan pelbagai acara menarik dan persembahan, termasuk persembahan oleh artis terkenal seperti Felix Agus dan Leles Koronob, yang dijangka memeriahkan lagi suasana serta memberi kenangan manis kepada semua alumni yang hadir.
Comments