RIBUT PETIR, HUJAN LEBAT MENYELURUH HINGGA HUJUNG DISEMBER - METMALAYSIA
18 NOV 2020
KUALA LUMPUR: Kejadian ribut petir, hujan lebat berserta angin kencang dijangka berlaku lebih menyeluruh terutamanya pada waktu petang dan awal malam sepanjang fasa pertama Monsun Timur Laut, yang berlaku ketika ini hingga hujung Disember.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Jailan Simon berkata ia melibatkan kebanyakan kawasan di negeri pantai barat Semenanjung meliputi Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor serta barat Sabah dan barat Sarawak.
“Ini disebabkan faktor penumpuan angin dari arah timur dan barat serta kelembapan udara yang tinggi di seluruh negara yang menggalakkan pembentukan awan ribut petir.
“Keadaan ini berpotensi menyebabkan kejadian banjir kilat di kawasan yang rendah dan kerosakan ke atas struktur yang tidak kukuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
MetMalaysia menasihatkan orang ramai agar sentiasa peka dengan amaran cuaca semasa.
Sebarang maklumat lanjut berkaitan cuaca dan amaran cuaca, orang ramai boleh melayari laman web dan media sosial rasmi MetMalaysia, menghubungi talian 1-300-22-1638 atau menerusi aplikasi myCuaca. - Bernama
Comments