top of page

RM33.59 juta untuk tingkat keterjaminan makanan di Sabah, optimumkan penggunaan tanah bagi agromakanan

Wartawan Nabalu News

13 Julai 2024


KOTA KINABALU : Sektor keterjaminan makanan di Sabah mendapat suntikan dana apabila peruntukan sebanyak RM33,593,226 diserahkan oleh Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri Sabah semalam.


Penyerahan replika cek daripada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Seri Mohamad Sabu kepada Timbalan Ketua Menteri I yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Seri Dr Jeffrey Gapari Kitingan disaksikan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor pada Jumaat.


Majlis ini diadakan sempena kunjungan hormat Mohamad di kediaman rasmi Ketua Menteri di Sri Gaya yang turut dihadiri Timbalan Menteri KPKM, Datuk Arthur Joseph Kurup.


Dalam kunjungan hormat ini, perbincangan menjurus kepada kerjasama KPKM dengan kerajaan negeri bagi mengoptimumkan penggunaan tanah ke arah keterjaminan makanan negara serta kerjasama dalam melaksanakan projek pembangunan.


Mohamad berkata peruntukan yang disalurkan KPKM itu adalah sebahagian daripada RM150 juta diperuntukkan kerajaan Persekutuan dalam Belanjawan 2024 bagi pelaksanaan projek pembangunan bersama kerajaan negeri yang merupakan inisiatif belanjawan khas bagi tahun 2024 yang bertujuan untuk membangunkan dan mengoptimumkan pengunaan tanah bagi meningkatkan hasil produk agromakanan ke arah keterjaminan makanan negara.


Peruntukan itu juga bagi melaksanakan usaha meningkatkan keterjaminan makanan di Sabah menerusi pemerkasaan sektor ternakan, tanaman dan aktiviti pengeluaran serta pemasaran produk hiliran di negeri ini.


Menurut Mohamad, peruntukan itu yang juga peruntukan tertinggi disalurkan, berbanding negeri lain di Malaysia dan telah disalurkan secara berperingkat kepada kerajaan negeri Sabah pada 4 April lalu dan 14 Mei lalu adalah bagi memastikan program ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.


Katanya, penyaluran peruntukan untuk Sabah adalah meliputi tujuh projek pembangunan agromakanan di Sabah melibatkan pemerkasaan ternakan bersepadu ruminan, pembinaan 23 buah Pusat Pengumpulan Hasil Padi, pemulihan sawah-sawah padi terbiar seluas 534.55 hektar, pembinaan kilang kopi dan pembangunan tanaman kontan (Keladi Cina) yang melibatkan pelbagai daerah di Sabah.


Kesemua projek itu akan dilaksanakan dan dikawal selia oleh Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI) melalui Jabatan Pertanian Sabah (DOA) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah (DVS Sabah).


Peruntukan tersebut secara tidak langsung akan memberi manfaat dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat di Sabah seterusnya meningkatkan pendapatan dan memperbaiki taraf sosio ekonomi negeri ini selaras dengan usaha meningkatkan nilai kadar sara diri (SSR) yang disasarkan dalam Dasar Agromakanan Negara 2.0 (DAN 2.0)


Sementara itu, Hajiji turut merakamkan penghargaan di atas keprihatinan Kerajaan Persekutuan menerusi KPKM dalam membantu usaha kerajaan negeri meningkatkan keterjaminan makanan di Sabah.


Beliau berkata, kerajaan negeri turut komited meningkatkan tahap sara diri (SSL) hasil pertanian terutamanya padi termasuk menghidupkan semula Lembaga Padi dan Beras Sabah selain melaksanakan beberapa inisiatif bagi meningkatkan SSL beras daripada 22 peratus tahun ini kepada 31 peratus pada tahun 2025.


Katanya, ini termasuklah memberi penekanan kepada pembangunan padi tanah kering iaitu penanaman padi bukit, pada tahun ini.


Sementara itu Mohamad yang diiringi oleh Timbalan Menteri KPKM, Ketua Setiausaha dan pegawai-pegawai kanan KPKM sedang dalam rangka lawatan kerja ke Sabah selama empat hari bermula 12 Julai.


Lawatan ini turut melibatkan Konvoi Jelajah Road to MAHA@Sabah 2024 di Kota Kinabalu, Kota Belud, Kundasang, Telupid dan Sandakan.


Sepanjang tempoh lawatan kerja tersebut, beberapa program akan diadakan seperti perasmian Program Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB IADA Kota Belud), lawatan ke Desa Dairy Farm, Akua Farm Mesilau dan Spa Tagal Luanti di Kundasang, sesi walkabout di Pasar FAMA Telupid, program ramah mesra dengan rakyat Sabah, penyampaian insentif dan bantuan kepada golongan sasar, sesi Town Hall bersama pemegang taruh dan majlis penyerahan Elaun Sara Hidup Nelayan Negeri Sabah.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page